Monday, January 6, 2014

Kerajaan Pulau Pinang beri elaun RM100 sebulan pada penarik beca

KL TODAY

 


Selain daripada Feri yang menjadi simbol tarikan ke Pulau Pinang, beca juga merupakan salah satu tarikan yang masih kekal walaupun jumlahnya kini hanya 150 buah jika dibandingkan 70 tahun yang lalu dimana jumlahnya mencecah sehingga 2,250 buah.Beca yang ada di Pulau Pinang kini dihias indah dengan bunga dan muzik serta dilengkapkan pelbagai aksesori menarik sebagai salah satu kenderaan bertayar tiga untuk membawa penumpang mengelilingi tempat-tempat menarik sekitar Georgetown.

Menurut Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd, 67 tahun, antara 150 beca yang ada kini, 70 darinya adalah dipunyai oleh pemilik beca sendiri.Manakala 80 lagi disewa dengan kadar harian sebanyak RM3 sehari dari tuan punya beca yang majoritinya dipunyai oleh taukeh-taukeh kaya di negeri ini. 

Beliau yang mempunyai pengalaman menarik beca sejak 50 tahun lalu, menyara keluarganya dengan hasil titik peluh menarik beca mulai awal pagi hinggalah ke malam. 

Baginya beca sudah menjadi darah dagingnya sejak bergelar remaja sehinggalah bergelar datuk yang mempunyai 11 orang cucu kini.

“Sejarah dulu upah yang diambil pada tahun 1960an hanyalah sebanyak 40 sen dari jeti atau feri sehinggalah ke Jalan Penang. Tapi kini zaman telah berubah.Upah yang dikenakan juga meningkat berdasarkan kepada jarak perjalanan sesuatu tempat.

“Walau bagaimana pun setiap hari purata yang mampu diperolehi oleh penarik beca tidak kurang dari RM40. Namun kebanyakan penumpang adalah pelancong dari luar yang igin mencuba naik beca, ” jelasnya lagi.

Namun begitu penyelenggaraan bagi memastikan setiap beca berada dalam keadaan baik harus diberi pertimbangan yang berat.
Tayar serta tiubnya perlu ditukar setiap enam bulan sekali.Manakala rantainya mesti sentiasa diberi perhatian supaya tidak mudah putus atau kekeringan minyak yang menyukarkan ia untuk dikayuh.

Sementara itu Ah Peng, 68, dari Air Itam pula berkata, beliau mempunyai pengalaman menarik beca sejak 30 tahun sehingga kini.

Jika dibezakan pada zaman dahulu, banyak perubahan pada harga dan keadaan beca yang ada pada waktu ini.

“Walaupun pendapatan tidak menentu kerana terpaksa mengharapkan pelancung dari luar, setidak-tidanya nasib semua penarik beca di Pulau Pinang telah terbela apabila setiap penarik beca diberikan sumbangan oleh Kerajaan Negeri setiap bulan sebanyak RM100 sejak tahun 2010.

“Kami perlu beratur untuk  mengambil wang tersebut di beberapa buah bank yang telah ditentukan oleh Kerajaan Negeri dengan bayaran tunai.

“Bantuan ini belum pernah kami terima dari mana-mana kerajaan yang memimpin negeri ini sebelum ini, ” tambahnya lagi.
Setidak-tidaknya penarik beca di Pulau Pinang boleh menarik nafas lega dengan bantuan yang diberikan bagi meringankan beban mereka setalah pendapatan tidak menentu.

Mereka juga amat berharap sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kesemua 150 penarik beca yang ada di negeri ini, diberi sokongan melalui mana-mana agensi Kerajaan Negeri maupun Kerajaan Pusat untuk mempromosikan destinasi menarik dengan menggunakan khidmat kesemua penarik beca yang ada di negeri ini. 

 
Usaha juga mesti diambil oleh pihak yang berkuasa bagi menaik taraf serta memperelokkan beca yang ada masih daif dan buruk melalui pelbagai program yang boleh meningkatkan pendapatan dan juga memastikan nasib penarik beca kekal dibela, kerana majoriti dari mereka yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan adalah mereka yang hampir bergelar warga emas.

Sumber: Malaysia Gazette

No comments: