Monday, January 6, 2014

Jamaluddin, Ong dan Samy hanya 'habiskan beras negara'

HARAKAHDAILY 
 

KUALA LUMPUR: Kecenderungan pentadbiran Najib melantik duta khas dan penasihat khas yang menelan perbelanjaan tinggi dan membebankan kewangan negara ditegur Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar).

Dalam satu kenyataan media, Sim mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik empat duta khas dan 13 penasihat khas yang sebahagiannya bertaraf menteri.

Sambil menyifatkan perlantikan itu sebagai “teramai dalam sejarah negara”, beliau turut mempertikaikan kewajaran kerajaan melantik Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sin sebagai duta khas bertaraf menteri ke Asia Timur seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim di Bintulu, baru-baru ini.

Negara kini mempunyai beberapa duta khas lantikan politik antaranya Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang ditugaskan ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Ong Ka Ting (Republik Rakyat China) dan Dato’ Seri S Samy Vellu (India Selatan) yang kesemuanya bertaraf menteri.

Sim mempertikaikan pelantikan tiga individu terbabit yang tidak memberi pulangan yang ketara kepada negara, malah hasil kerja mereka tidak membawa lonjakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang besar kepada negara.

“Saya ingin menyeru Perdana Menteri berhenti melantik duta-duta khas yang mahal dan memakan belanja yang besar dengan serta merta.

“Perlantik YB Dato Seri Tiong baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan. Kerajaan BN perlu menjelaskan rasionalnya melantik Duta Khas untuk hal ehwal Asia Timur,” ujarnya.

Sim menambah, Malaysia mempunyai duta-duta profesional yang berfungsi dengan baik di negara-negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berupaya mengendalikan urusan perdagangan dengan negara-negara tersebut.

“ Apakah tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada Duta Khas? Kerajaan BN harus menjelaskan mengapa perlu melantik Duta Khas, sedangkan kita sudah ada menteri perdagangan antarabangsa dan duta besar?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan kelayakan dan kepakaran Tiong sehingga dilantik duta khas dan adakah pelantikan itu satu ganjaran politik?

Isu yang paling penting, jelas Sim adalah pelantikan duta khas dan penasihat khas membabitkan kos yang tinggi dan membebankan kewangan negara.

Beliau turut membangkitkan jawapan kepada soalannya di Dewan Rakyat apabila kerajaan menjelaskan membayar gaji bulanan RM27,227.20 kepada duta khas yang lebih tinggi daripada gaji menteri.

“Oleh kerana mereka berstatus menteri maka mereka juga menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri. Mereka diberi pejabat yang dibiayai kerajaan.

“Ada sesetengah duta khas diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring PDRM. Mereka juga sentiasa menjelajah ke seluruh dunia. Kesemua ini memakan belanja yang besar,” ujarnya.

Sim juga menganggar perlantikan duta-duta khas membabitkan kos RM2 juta setahun.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat lalu, usul yang dibawa Sim untuk memotong gaji duta-duta khas ditolak setelah dibahaskan anggota Dewan.

“Dengan keadaan fiskal kewangan yang ketat dan hutang kerajaan pusat yang akan mencecah 55 peratus KDNK, apakah perlu kita berbelanja dalam melantik satu lagi duta khas?” soal beliau.

Sim turut mencadangkan  Perdana Menteri menambah satu lagi langkah pengurangan kos kerajaan iaitu menghapuskan jawatan duta khas dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri.   

Najib baru-baru ini mengumumkan 11 langkah kosmetik untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebagai satu langkah ‘jimat cermat’.

No comments: