Friday, January 24, 2014

'Fokus dapat sokongan, bukan lawan retorik pembangkang'

MALAYSIAKINI

 


TEMUBUAL Taktik menakut-nakutkan rakyat dengan retorik kaum dan agama tidak akan memenangi pilihan raya, kata ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Memberi contoh ugutan mengulangi peristiwa 13 Mei oleh beberapa NGO dan Umno Pulau Pinang, beliau berkata, parti itu sepatutnya fokus cuba mendapatkan sokongan dan bukan melawan kembali retorik pembangkang.

"Baik Tan Sri Taib Mahmud lagi di Sarawak. Orang kata dia macam-macam tapi bila pilihan raya di Sarawak, keputusannya mantap. PBB bertanding 35 kerusi ADUN, 35 dia menang.

"Kita di sini, cerita macam-macam, cakap macam-macam, jerit sana, jerit sini, ugut sana, ugut sini, tapi rakyat masuk pilihan raya tetap bagi undi kepada pembangkang. Bukan pasal pembangkang kuat pun," kata beliau dalam temubual dengan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas isu himpunan membantah tindakan

ADUN Machang Bubuk dari PKR, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung kepada replika perdana menteri sewaktu flash mob anti kenaikan harga baru-baru ini.

Himpunan disertai Umno dan PERKASA Pulau Pinang itu menyatakan tindakan Lee itu seolah menghina Melayu dan boleh mencetuskan perulangan peristiwa 13 Mei 1969.

Bagaimanapun Nur Jazlan tetap membidas tindakan Lee tersebut yang disifatkan sebagai 'melampaui batas'.

"Di internet, saya lihat video, lagu, parodi yang kelakar dan bijak di atas kenyataan PM berkaitan 'kangkung'. Satira politik itu normal.

"Tapi untuk seorang wakil rakyat buat perkara itu, buat efigi, sumbat kangkung... arak ke merata tempat. Itu tunjukkan kekurangan karektor, lampaui batas. Kita (wakil rakyat) sepatutnya lebih terpelajar," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam
Negara (PAC) turut mengatakan peristiwa 13 Mei tidak mungkin berulang khususnya di kawasan bandar kerana perbezaan sudut demografi, sosial dan ekonomi rakyat berbeza dari tahun 1969.

"Apabila rakyat bertambah kaya, mereka akan jadi - maafkan saya katalah - pentingkan diri sendiri juga, kerana tak nak apa-apa berlaku yang menjejaskan keselamatan dan harta yang mereka ada," kata beliau.

Nur Jazlan bagaimanapun mengakui isu kangkung ini menunjukkan betapa Umno semakin kehilangan sokongan dari rakyat.

Beliau berkata tindakan pembangkang yang didakwanya menghasut rakyat membenci pemimpin menggunakan isu seperti ini bakal menjejaskan prestasi Umno dalam pilihan raya akan datang.

"Tapi sekarang ni saya khuatir prestasi BN pada PRU14, tambah lagi dengan sekarang ni Datuk Seri Najib sendiri sebagai PM dimomok-momokkan kes Kangkung, di boo di stadium, kerana rakyat terbawa-bawa dengan persepsi negatif, padahal beliau bawa perkara baik...tapi rakyat tak terima.

"Sebelum pilihan raya, Najib ialah aset tapi sekarang kritikan ditumpu pada perdana menteri," katanya.

*Temubual ini dikendalikan bersama oleh Radzi Razak dan Koh Jun Lin

No comments: