SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat hiburan ringan perlu diadakan di Putrajaya bagi menarik kunjungan orang ramai ke bandar raya pintar dalam taman itu.
Malah menurutnya, kewujudan hiburan tidak bercanggah dengan idea asal penubuhan Putrajaya itu sendiri.
“Saya cadang kepada pengurusan Putrajaya supaya diadakan kedai-kedai makanan dan barangan sepanjang jalan tengah Putrajaya. Dalam pada itu pusat hiburan ringan juga perlu diadakan.
“... adanya hiburan ini tidak bercanggah dengan idea Putrajaya,” katanya yang dipetik dari blog chedet.cc hari ini.
Namun beliau tidak bersetuju sekiranya kedai arak dan tarian bogel disajikan di kompleks pentadbiran negara itu.
“Saya tak pernah pergi ke Hard Rock Cafe. Mungkin ia tidak sesuai. Tetapi ia dan pusat hiburan lain boleh disesuaikan jika sanggup mengadakan hiburan yang tidak lucah.
“Kita perlu kepada hiburan. Jika ada acara persandingan di dewan-dewan di Putrajaya tidak ada larangan terhadap hiburan,” katanya.
Menyingkap soal reka bentuk Putrajaya yang dipengaruhi ibu kota Perancis iaitu Paris, beliau membayangkan suasana Putrajaya kelak seperti Champs Elysees, boulevard utama yang melintasi tengah bandar Paris.
“Boulevard ini mempunyai jalan tengah yang luas untuk lalu-lintas kereta dan dua buah jalan kecil antara jalan tengah dengan deretan bangunan di kiri kanan untuk pelawat ke kedai dan restoran.Tingkat bawah bangunan-bangunan ini terdapat kedai-kedai makan dan barangan dan juga pusat hiburan seperti Lido.
“Memanglah restoran menjual barangan yang tidak halal... ia dipenuhi pembeli-belah tempatan dan pelancong dalam dan luar negeri sepanjang masa. Ramainya mereka di sini kerana terdapat kedai dan restoran mewah.
“Kita tidak berhasrat meniru segala-galanya yang terdapat di Champs Elysees. Kita juga tidak ingin menjadi Putrajaya sebagai bandar pentadbiran yang penuh dengan pejabat kerajaan semata-mata,” katanya.
Sebelum ini, cadangan pembukaan Hard Rock Cafe (HRC) di Putrajaya, iaitu premis kelima di negara ini selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kota Kinabalu, mencetuskan kemarahan dan bantahan ramai terutama penduduk Putrajaya.
Sementara Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, permohonan untuk membuka cawangan HRC hanya diluluskan jika ia mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam.
No comments:
Post a Comment