Thursday, January 9, 2014

Di saat kos sara hidup naik, gerai peniaga mahu diroboh


 
HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Dalam keadaan rakyat sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup, sekumpulan peniaga di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang bakal kehilangan punca pendapatan.

23 gerai menjual makanan dan pakaian yang dibina dengan titik peluh mereka sendiri dalam kawasan PPR tersebut akan dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Apa  yang menghairankan mereka, semasa  bergoyong-royong mendirikan gerai-gerai tersebut, DBKL datang memantau namun tidak mengeluarkan sebarang arahan agar gerai tersebut dirobohkan.

Namun apabila hampir 100 peratus gerai siap dibina dan ada yang sudah memulakan perniagaan, DBKL mengeluarkan notis arahan agar gerai mereka dirobohkan.

Notis pertama dikeluarkan pada 14 Disember lalu diikuti dengan notis amaran pada 4 Januari yang memberi tempoh sehingga semalam untuk peniaga mengosongkan gerai mereka.

Menurut wakil peniaga, Mohd Rosli Hamid, mereka sudah berjumpa dengan pihak yang bertanggungjawab untuk membantu mereka namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga mereka memohon bantuan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk campur tangan.

"Saya berterima kasih kepada YB Tian Chua yang sudi turun berbincang dengan DBKL dan meminta mereka memberi tempoh kepada kami.

"Kami minta DBKL jangan robohkan gerai kami. Kalau suruh kami bayar sewa, kami akan bayar tapi tolong benarkan kami berniaga di PPR kami sendiri.

"Orang yang tak ada kad pengenalan, tak tahu datang dari mana boleh hidup mewah kaya-raya kita anak jati Malaysia nak berniaga pun tak boleh dan masih duduk rumah PPR," katanya ketika ditemui selepas perbincangan dengan Tian Chua dan pihak DBKL, di kawasan gerai, siang tadi.

Sementara itu, Tian Chua berkata, beliau mempunyai tempoh seminggu untuk berunding dengan DBKL agar tidak merobohkan gerai penduduk.

Tian berkata, semalam beliau berjumpa dengan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan pihak kementerian memberikan penangguhan seminggu kepada penduduk sebelum gerai dirobohkan.

"Saya ada seminggu untuk berjumpa DBKL dan bawa kes ini bagi pihak peniaga dan saya harap rundingan ini dapat dilakukan secepat mungkin.

"Dulu kawasan ini penuh dengan semak-samun dan penduduk ambil inisiatif bersihkan kawasan ini dan mereka bahagikan lot tertentu untuk teruskan perniagaan.

Sepanjang tempoh pembersihan dan mengelokkan kawasan DBKL pantau dan tidak ada arahan dan panduan oleh pihak mereka.

Sekarang sudah bersih dan semua sedia untuk berniaga teapi hujung tahun lalu ada ancaman daripada DBKL kata gerai ini harus dirobohkan.

Peniaga cuba cari semua pihak untuk dapat penjelasan dan akhirnya saya dimaklumkan dan saya cuba menyelesaikan dan harap ada satu persetujuan di antara peniaga dan DBKL," katanya.

Peniaga rayu DBKL jangan sekat punca rezeki

Dalam pada itu, beberapa peniaga yang ditemui meluahkan kekecewaan terhadap sikap Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak prihatin dengan nasib mereka.

Zainab Zakaria, 45 berharap menteri dan pihak yang berkaitan turun sendiri mendengar masalah mereka.

Katanya, perniagaan tersebut merupakan punca rezeki dia dan anak-anak.

"Dapat duit berniaga nak bayar sewa rumah. Kalau kita lambat bayar DBKL datang nak kunci. Jadi mana janji ditepati yang mereka itu?

"Peniaga harapkan rezeki ini untuk bayar sewa rumah. Dalam keadaan harga barang naik, sewa rumah naik, elektrik naik macam mana kami yang tak ada duit ini nak hidup? Tolonglah simpati.

"Minta Ku Nan dengarlah luahan ibu tunggal kat sini. Yang berniaga di sini ibu tunggal, ada yang anak OKU. Tolonglah dengar luahan hati kami rakyat 1Malaysia ini.

Suruh dia turun sendiri tengok keadaan rakyat. Saya dah naik pejabat Datuk Shahrizat, naik turun tangga tapi mereka tak simpati dengan kita.

"Mana janji mereka untuk dahulukan rakyat? Masa macam inilah kita perlukan mereka," luahnya.

 Wakil peniaga, Zul Yusuf pula berkata, hanya Menteri Wilayah yang dapat menyelesaikan masalah mereka dan dia tidak akan berputus asa untuk memperjuangkan nasib mereka.

"Kami dah berniaga setahun lebih, ada berniaga tiga hingga empat tahun.

"Majoriti yang berniaga orang susah, penduduk PPR sendiri, bukan orang luar.

Yang boleh menyelesaikan masalah kita ini hanyalah menteri. Ku Nan sahaja yang boleh selesaikan masalah.

"Tolong beritahu Ku Nan tak kira dari parti mana pun,kami tetap manusia.

"Saya orang kuat Umno. Pada ketika ini kita jangan berfikir pasal parti. Ada yang bergantung sepenuhnya  pada perniagaan. Tolong prihatin penduduk di sini," katanya.

No comments: