"APABILA kita membincangkan tentang isu guru memukul pelajar, pastinya akan menimbulkan berbagai tafsiran dan timbullah istilah guru ‘jahat’.
Kalau seorang murid sekolah rendah, pastinya istilah guru jahat adalah gara-gara memberikan latihan atau kerja rumah yang banyak ataupun dimarahi kerana terlupa membawa buku teks.
Namun
jelasnya disini, keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah
untuk meningkatkan kemahiran murid telah disalahtafsirkan sebagai
‘jahat’.
Berbeza
dengan murid-murid sekolah menengah pula, pasti mengatakan guru yang
‘jahat’ akan selalu menghalang atau mengawal tindak-tanduk mereka.
Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalahtafsirkan sebagai ‘jahat’.
Tidak
kurang pula jika melihat kes guru memukul pelajar, semestinya ibu bapa
akan turut sama bersuara dan tidak berpuas hati dengan tindakan
tersebut.
Samada
kes itu besar atau kecil, penglibatan ibu bapa masa kini terhadap
anak-anak sangat proaktif terutamanya apabila melibatkan ‘sentuhan’ guru
terhadap anggota badan anak mereka, maka ibu bapa mula tampil ke
hadapan.
Tetapi, wajarkan tindakan dan reaksi ibu bapa tersebut?
Memetik
kes yang dilaporkan oleh Bernama dalam artikel yang disiarkan pada 11
September 2013 misalnya, dimana dua pelajar di sebuah sekolah di Alor
Gajah, Melaka mendakwa telah dipukul oleh gurunya sehingga mengakibatkan
kecederaan dibahagian mata kanan dan penglihatannnya menjadi kabur.
Di
Sibu pula, laporan yang dikeluarkan oleh Borneo Post pada Ogos 2013,
dimana kes yang melibatkan pelajar tingkatan tiga dipukul oleh gurunya
menggunakan batang penyapu sehingga mengakibatkan pelajar tersebut patah
tangan.
Walaupun
begitu, artikel ini ditulis bukan untuk menyalahkan pihak pendidik
ataupun mempersoalkan hak ibu bapa terhadap anak-anak mereka, namun
sebaliknya reaksi ibu bapa kini dilihat lebih terburu-buru dalam
menghukum pihak sekolah ketika tampil membela anak-anak mereka.
Jika
mengimbau pengalaman ibu bapa dahulu, apabila dengar sahaja anak-anak
mereka dipukul oleh guru, sesetengah ibu bapa menggalakkan tindakan guru
malah turut memberi ‘tambahan bonus’ kepada anak mereka.
Senario itu sudah berbeza dengan masa kini dimana ibu bapa akan melenting apabila anak mereka pulang dengan tangan ‘berbirat’.
Soalnya, apakah konsep ibu bapa melenting?
Aisyah
Talib, 30, bekerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah
syarikat swasta di ibukota berkongsi pengalaman beliau yang pertama kali
menghantar anak sulungnya ke sekolah.
Menurutnya,
sebagai seorang ibu, beliau mengakui bahawa dia akan merasa sedikit
tersentak sekiranya anak yang dihantar ke sekolah dengan harapan untuk
mendapatkan pendidikan, tetapi dalam masa yang sama dikejutkan oleh
tangisan anaknya.
“Ibu
bapa mana yang tidak akan terkejut sekiranya anak mereka dipukul. Tidak
kira apa pun kesalahan pelajar tersebut, seorang guru perlu mengikut
prosedur yang ditetapkan dalam menentukan hukuman terhadap pelajar.
“Ini
tidak bermaksud saya menyalahkan guru sepenuhnya, apa-apa pun sebagai
seorang ibu, kita tidak boleh mendengar sebelah pihak sahaja. Kita perlu
bersemuka dengan guru dan bertanyakan perkara yang sebenar,” katanya.
Walaubagaimanapun,
beliau menggalakkan guru untuk mengajar dan menegur kesalahan yang
dilakukan oleh murid-murid sekiranya dilihat keterlaluan kerana
beranggapan ibu bapa kini lebih terbuka terhadap perkembangan
pembelajaran anak-anak berbanding ibu bapa dahulu.
"Konsep
melenting atau cepat melatah terhadap apa yang berlaku kepada anak-anak
sebenarnya tidak wujud, hakikatnya ibu bapa kini lebih mengambil berat
dan bersikap proaktif terhadap pembelajaran anak-anak dan akan kecewa
jika perkara sebaliknya berlaku.
“Cabaran
guru-guru di masa kini dalam mendidik pelajar lebih berat berbanding
dengan masa dahulu. Ibu bapa zaman kini mempunyai kesedaran yang tinggi
terhadap pelajaran anak-anak mereka,” jelasnya kepada Malaysian Digest
(mD).
Tidak
menolak kemungkinan bahawa guru-guru boleh bertindak diluar batasan,
Aisyah menasihatkan supaya ibu bapa jangan cepat mengambil keputusan
sendiri dan perlu menyiasat terlebih dahulu.
“Pukul
boleh, tetapi perlu ada caranya, jangan sampai menimbulkan kecederaan
fizikal dan disamping itu, ibu bapa perlu bijak dalam membuat
keputusan,” ujarnya.
Murid Sekarang ‘Anak Emak’
Wan
Asri Wan Jusoh, 42, guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit
Jawa, Kelantan menganggap bahawa para pelajar sekarang lebih agresif dan
bersifat ‘anak emak’ jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar pada
zamannya.
Dia
berpendapat bahawa remaja kini cepat mengadu dan memberontak dan
guru-guru perlu mencari pendekatan lain agar sebarang tindakan atau
hukuman yang dijatuhkan tidak disalah erti oleh ibu bapa atau pihak
luar.
“Sebarang
hukuman yang diambil oleh guru-guru ada batasnya, dan tidak pernah
wujud soal mengikut perasaan terhadap hukuman. Cuma kini, pendekatan
yang lebih bijak harus diambil, tidak perlu berkeras dan hanya
menasihati.
“Kalau
dahulu, ibu bapa serahkan sepenuhnya untuk kita menghukum anak-anak
mereka dan mereka bersedia untuk mendengar apa yang berlaku, tetapi kini
kita yang perlu mendengar penjelasan ibu bapa dan anak-anak,” katanya.
Menurut
Asri yang sudah hampir 20 tahun bergelar pendidik, pihak sekolah dan
guru kini lebih terdedah kepada tindakan undang-undang sekiranya gagal
mengawal perasaan dalam menjatuhkan hukuman terhadap pelajar.
“Para
pendidik dan pentadbir yang tidak relevan dalam tindakannya tidak akan
terlepas daripada hukuman,” tambahnya yang juga seorang bapa kepada lima
orang anak.
Hak Merotan Pelajar
Mengikut
sumber yang dikeluarkan oleh kementerian, kuasa merotan seharusnya
diketahui oleh para guru berkaitan sejauh mana tindakan disiplin boleh
dilaksanakan berdasarkan dari surat arahan yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pelajaran.
Mengikut
Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan
Pelajaran 1957, Guru Besar atau Pengetua sekolah mempunyai kuasa untuk
mengenakan hukuman kepada pelajar bagi menjaga tatatertib dalam kalangan
pelajar.
Peraturan
5; hukuman kepada pelajar perempuan adalah dilarang dan hukuman untuk
pelajar lelaki hanya dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di
tapak tangan ataupun di punggung dengan berlapikkan pakaian dan
dilakukan oleh Guru Besar ataupun kuasa nyata yang diberikan kepadanya.
Peraturan
itu jelas diakui oleh Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa
dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan yang
berkata, amalan mengambil tindakan dilakukan oleh pihak sekolah atau
guru berdasarkan tatatertib yang telah ditetapkan.
Kaedah
yang dicadangkan kepada para pengajar untuk mengambil tindakan terhadap
pelajar adalah meliputi teguran, menasihati, memberi bimbingam
kaunseling dan baharulah proses menghukum boleh diambil sekiranya
kaedah-kaedah tersebut tidak berkesan kepada pelajar.
Tambahnya
lagi, bagi memastikan hubungan antara guru, ibu bapa dan pelajar,
sebarang masalah yang dihadapi melibatkan isu penderaan pelajar akan
disiasat terlebih dahulu bagi memastikan tiada tindakan yang melulu
diambil.
“Ketiga-tiga pihak akan dipanggil bagi mengetahui punca sebenar sekiranya ada dakwaan guru memukul pelajar.
“Ini
bertujuan untuk memastikan hubungan ketiga-tiga pihak tidak terputus
dan ibu bapa disarankan agar tidak cepat melatah terhadap sebarang isu
yang melibatkan anak-anak,” katanya ketika dihubungi olehmD baru-baru ini.
Psikologi Terganggu
Menurut
Pakar Perunding Psikiatrik dan Psikologi, Dr Wan Mohd Rushidi Wan
Mahmud, murid atau pelajar sekolah yang dipukul mungkin akan mengalami
kesan psikologi jangka pendek atau panjang.
“Pelajar akan jadi lebih takut, rendah 'self esteem' atau keyakinanan diri, lebih pasif dan tidak ceria.
“Kerapkali
berlaku di kalangan mereka yg didera tanda-tanda – re-experiencing
phenomena (imbas semula apa yg berlaku secara berulang), avoidance (elak
daripada perkara-perkara yang mengingatkan kembali peristiwa yang
berlaku) dan hypervigilence (mudah terkejut, sentiasa dalam keadaan
ketakutan, gementar) disamping fobia (ketakutan) terhadap sesuatu
misalnya guru atau sekolah,” katanya kepada mD.
Sumber: http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/484862-anak-emak-punca-murid-tidak-boleh-dijentik.html
No comments:
Post a Comment