Sunday, January 5, 2014

200 termasuk anak bekas PM berarak dalam hujan lebat minta kebebasan media

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Peserta Protes Pensil Merah menunjukkan ketidakpuasan mereka mengenai kebebasan akhbar di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 Januari, 2014. 
Peserta Protes Pensil Merah menunjukkan ketidakpuasan mereka mengenai kebebasan akhbar di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari,



Kira-kira seramai 200 orang termasuk anak bekas Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat menyertai perhimpunan di perkarangan Lebuh Pasar, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Protes Pensil Merah anjuran Gerakan Media Marah (Geramm) yang diadakan berikutan penggantungan akhbar mingguan berbahasa Inggeris, The Heat.

Antara yang dilihat turut memberi sokongan kepada bantahan itu adalah bekas Pengerusi Bersih 2 Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Datuk Paduka Marina Mahathir dan beberapa individu lain.

Ambiga dalam ucapannya berkata bantahan ini bukan sahaja dilakukan terhadap The Heat tetapi kepada kebebasan media di Malaysia.

"Ini berkaitan integriti anda sebagai wartawan. Kita perlu memandang serius perkara ini kerana media dikawal oleh kerajaan.

"Lesen kepada pihak media bercanggah dengan hak kebebasan media," katanya sebelum peserta berarak ke Stesen LRT Masjid Jamek sebagai simbolik kepada kawasan wartawan dikasari semasa Perhimpunan Bersih yang lalu.

Peserta perhimpunan berarak dalam keadaan hujan lebat sebelum mereka berhenti di Stesen LRT Masjid Jamek.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut hadir di bantahan itu berkata kerajaan harus membatalkan penggantungan terhadap The Heat dengan kadar segera seperti mana janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu menyuburkan demokrasi di Malaysia.

Katanya, harapan Najib yang mahu Malaysia menjadi negara demokrasi terbaik di dunia tidak akan kesampaian sebaliknya Indeks Kebebasan Akhbar akan terus merudum berbanding sebelumnya.

“Saya hadir bagi memberi sokongan untuk membebaskan The Heat agar penggantungannya dibatalkan serta merta.

“Kita perlu media yang bebas kalau mahu demonstrasi yang tulen seperti mana dilaungkan Perdana Menteri semasa Hari Malaysia dua tahun lepas.

“Malaysia tidak akan mampu menjadi negara demokrasi terbaik seperti mana dakwaan Najib sebaliknya dalam Indeks Kebebasan Media yang akan diumumkan akhir bulan ini mungkin kedudukan Malaysia jatuh lebih rendah di belakang Myanmar,” katanya kepada pemberita dalam suasana hujan lebat.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata jika kerajaan masih gagal membendung masalah kebebasan media di Malaysia, ia akan mengundang malu besar kepada negara dengan masih mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Katanya, kebimbangan rakyat berhubung laporan muka hadapan akhbar The Heat yang mengulas keborosan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menunjukkan kerajaan perlu segera melakukan perubahan.

“Ini tentulah akan mengundang malu yang besar. Kita akan terus menasihatkan kerajaan membatalkan sekatan terhadap kebebasan media termasuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu. Muka depan The Heat tentang pembaziran menjadi keprihatinan rakyat dan kerajaan perlu mengambil perhatian untuk membetulkan bukan menggantung The Heat,” katanya yang menyebut penggantungan akhbar itu tidak akan mampu menyelesaikan masalah.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada hujung bulan lalu berkata jaminan untuk membuat keputusan berhubung tindakan penggantungan permit akhbar mingguan The Heat akan dibuat dalam masa terdekat selepas meneliti surat tunjuk sebab oleh penerbitan akhbar tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa tindakan penggantungan permit itu hanya untuk sementara dan akan membuat pertimbangan wajar dan adil terhadap penerbitan The Heat dalam masa terdekat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Nik Nazmi yang turut sama dalam bantahan itu berkata kerajaan harus mengambil mesej daripada protes yang telah dijalankan rakyat sejak 2007 dan membatalkan permit penerbitan bagi terus menjamin kebebasan media.

“Ini satu himpunan yang baik dan berjaya menghimpunkan golongan komited terhadap kebebasan media di kalangan wartawan, aktivis dan pemimpin politik. Dalam beberapa siri protes sejak 2007, ia telah berkembang dan memberi kesan kepada politik negara.

“Malangnya, kerajaan tidak mengambil mesej daripada desakan rakyat selama ini dan mengambil keputusan terus-menerus untuk menekan rakyat.

“Najib mendakwa Malaysia mampu menjadi negara demokrasi terbaik di dunia tetapi kita lihat langkah yang diambil semakin hari menjauhi demokrasi dan ini sesuatu yang malang kepada Malaysia,” katanya.

Timbalan Speaker DUN Selangor itu berkata kerajaan perlu tampil dengan hujah konkrit di sebalik penggantungan The Heat jika ia dilakukan bukan disebabkan laporan muka depan akhbar tersebut.

“Jika bantahan ini dijalankan secara konsisten, kita mampu menarik perhatian rakyat untuk membawa isu kepada kerajaan.

“Maka kita perlu mendapat penjelasan. Permit penerbitan satu model lapuk dan tidak relevan. Kalau bukan sebab muka depan, sebab apa?

“Jika media melakukan fitnah, ada landasan perundangan dan bukannya permit yang mengekang media,” katanya.

Peserta Protes Pensil Merah berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam sebelum berarak ke Stesen LRT Masjid Jamek. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 Januari, 2014. 
Peserta Protes Pensil Merah berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam sebelum berarak ke Stesen LRT Masjid Jamek. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari,

No comments: