Tuesday, September 24, 2013

RoS tidak hormat undang-undang, kata DAP

OLEH DIYANA IBRAHIM


















DAP hari ini menyelar kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS), Datuk Abdul Rahman Othman yang mendakwa pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC) parti itu tidak selaras dengan kehendak perlembagaan parti.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo (gambar), berkata tindakan Abdul Rahman jelas menunjukkan RoS tidak menghormati proses undang-undang dan sering menyalahkan parti itu sebelum mendengar penjelasan.

“Abdul Rahman seharusnya tahu. Sekiranya ada aduan, beliau dikehendaki memaklumkan kami berkenaan aduan tersebut dan meminta penjelasan sebelum membuat sebarang keputusan.

 “Ia menimbulkan persoalan kerana itu saya ingin bertanya  adakah beliau mengikuti prosedur ini? Kalau tidak, kenapa? Dan apakah kuasa beliau untuk membuat keputusan dalam cara begini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gobind berkata, beliau hairan apabila Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan sehari sebelum Mahkamah Tinggi memutuskan isu yang sama.

"Saya menasihatkan Abdul Rahman supaya berhati-hati. Sebagai seorang ketua jabatan, beliau mesti faham dan menghormati proses undang-undang. Sama ada boleh atau tidak proses pemilihan semula CEC dibuat melalui kongres khas akan kami hujahkan di hadapan mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, DAP tetap dengan pendirian pemilihan CEC yang dibuat melalui kongres khas  adalah mengikut peruntukkan khusus dalam perlembagaan parti.

RoS sebelum ini berulang kali menasihatkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC selaras dengan kehendak perlembagaan parti itu.

Abdul Rahman berkata, RoS berusaha menegakkan keadilan untuk semua anggota parti dan bukan untuk jawatankuasanya sahaja.

"Sebagai pengawal selia, kami menjalankan tugas berasaskan Akta Persatuan dan bukan menganiaya mana-mana pertubuhan," katanya.

Pada 30 Julai, RoS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan baru CEC, dengan menyatakan ia tidak puas hati dengan penjelasan "masalah teknikal" yang diberikan berikutan dakwaan berlaku manipulasi kertas undi melibatkan 547 perwakilan.

Pada 19 Ogos, Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke mendakwa bahawa lebih 500 perwakilan DAP mengemukakan surat kepada ibu pejabat parti, dengan menjelaskan bahawa mereka menerima notis untuk mesyuarat itu tetapi tidak dapat hadir pada pemilihan CEC parti.

DAP pada mulanya menentang arahan RoS itu tetapi akhirnya patuh dan bersetuju mengendalikan pemilihan baru.

No comments: