Oleh KHALID SAMAD
Baru
baru ini sebuah akhbar siber yang membawa tajuk sensasi kononnya saya
menyalahkan ulama atas sebab ‘kegagalan’ PAS dalam PRU ke 13! Saya ingin
jelaskan di sini bahawa berita itu merupakan spin atau
putar-belit berita yang berniat jahat. Saya perlu juga tegaskan bahawa
pencapaian PAS dan PR dalam PRU ke 13 amat membanggakan dan tidak
merupakan satu ‘kegagalan’ seperti yang di dakwa.
Isu
ini timbul apabila diadakan sidang akhbar di pejabat saya pada 18
September lepas. Semasa sidang akhbar, saya telah ditanya pandangan saya
terhadap beberapa isu yang telah ditimbulkan semasa perbahasan Multaqa
Ulama di Alor Setar tempoh hari. Di antaranya ialah dakwaan bahawa
Tahaluf Siyaasi perlu dikaji balik atas sebab merosotnya undi Melayu
kepada PAS serta kerusi yang dimenangi berkurangan berbanding 2008 serta
dakwaan ingin membawa PAS keluar PR.
Isu Merosotnya Undi Melayu
Saya menyatakan bahawa merosotnya undi Melayu, sekiranya benar,
tidak boleh disalahkan Tahaluf Siyaasi ataupun atas sebab PAS berada di
PR. Ini adalah kerana kalau dibandingkan keputusan 2008 dan 2013, ianya
merupakan perbandingan yang tidak tepat. Ini adalah kerana pada 2008,
UMNO berada dalam keadaan selesa setelah menang besar pada 2004. Oleh
kerana mereka merasakan diri mereka kuat dan selesa, berdasarkan
keputusan 2004, maka pada 2008 mereka tidak berusaha sedaya-upaya dengan
seluruh kekuatan mereka untuk mempertahankan kemenangan mereka. Ini
adalah kerana mereka menganggap kemenangan itu sudah berada dalam tangan
sehingga Khir Toyo mengulangi ungkapan ‘pembangkang sifar’.
Pada
2013 keadaannya amat sangat berbeza. UMNO telah hilang beberapa Negeri
dan kerusi Parlimen pada 2008 yang tidak pernah dimenangi ‘pembangkang’
sebelum ini. Mereka sedar akan kekuatan PR dan oleh itu telah berusaha ‘all out’
atau sedaya upaya untuk menang. Propaganda mereka yang menyerang PR
ditingkatkan berlipat kali ganda sehingga persoalan ‘Negara Kristian’,
‘DAP berkuasa’, ‘Melayu terpinggir’ dan sebagainya dilaungkan setiap
hari dan setiap saat oleh media tempatan. Mereka turut gunakan duit
untuk memikat hati rakyat melalui BRIM dan sebagainya. Walaubagaimapun,
hasil dari usaha mereka yang berlipat kali ganda ini, undi Melayu untuk
UMNO bertambah, namun dengan kadar pulangan agak mendukacitakan mereka
kerana dikatakan hanya berganjak sebanyak 2-3% secara keseluruhannya.
Oleh
itu kemampuan PAS dan PR untuk mempertahankan sokongan sediada dalam
menghadapi serangan bertubi-tubi dari UMNO pada 2013 perlu dibanggakan.
Saya yakin UMNO/BN cukup duka cita dengan pencapaian mereka setelah
mereka membelanjakan begitu banyak wang dan tenaga tetapi hanya mendapat
pulangan sebanyak 2-3% sahaja!
Saya teruskan respon saya dengan mengatakan bahawa kemerosotan undi Melayu, sekiranya benar berlaku,
adalah atas sebab kegagalan PAS untuk menghadapi dan mematahkan
serangan propaganda dan dakyah UMNO ini di kalangan orang Melayu di
peringkat akar umbi.
Oleh itu saya rumuskan, adalah lebih baik
sekiranya PAS, khususnya golongan ulama’ pelapis yang berpengaruh di
kalangan masyarakat Melayu di peringkat akar umbi, menumpukan usaha kita
kearah mengatasi dakyah UMNO tersebut. Ini jauh lebih bermakna dari
kita mempertikaikan Tahaluf Siyaasi bersama PKR dan DAP yang telah
memberikan PAS banyak manfaat.
Atas komen terakhir itu maka
diputar-belitnya berita dengan mengatakan saya menyalahkan ulama atas
‘kegagalan’ PAS pada 2013 kerana tidak mampu mengatasi dakyah UMNO!
Soal Kerusi Yang Berkurangan Berbanding 2008
Saya
turut ditanya respon saya terhadap dakwaan bahawa Tahaluf Siyaasi
merugikan PAS dan ini terbukti dengan berkurangnya kerusi Parlimen yang
dimenangi PAS pada 2013 berbanding pada 2008. Pada 2008 PAS telah
menangi 23 kerusi Parlimen tetapi pada 2013 PAS hanya menangi 21 kerusi
Parlimen.
Saya menjawab bahawa berkurangnya kerusi Parlimen PAS
adalah atas sebab kehilangan Kedah. PAS telah hilang 5 kerusi Parlimen
di Kedah yang mana sekiranya kita telah berjaya mempertahankan Kedah,
jumlah kerusi Parlimen PAS akan menjadi 26. Dan sekiranya begitu juga di
Titiwangsa, yang turut PAS kehilangan, maka jumlah kerusi Parlimen kita
menjadi 27!
Saya telah menyatakan sekali lagi bahawa prestasi
buruk PAS di Kedah tidak boleh di persalahkan Tahaluf Siyaasi dan PR.
Ini adalah kerana prestasi buruk tersebut adalah hasil dari masalah
dalaman PAS Kedah yang diketahui umum. Oleh itu adalah lebih wajar bagi
PAS untuk menumpu usaha kearah memperbaiki kelemahan yang ada, khususnya
di Kedah, supaya amanah yang diberikan kepada PAS
untuk menang Kedah dapat dilaksanakan dengan baik. Adalah pasti bahawa
PR akan menyerahkan tugas memenangi Kedah untuk terus diterajui PAS.
Daripada PAS berbalah sesama sendiri dan mempertikaikan kita rugi ini
dan itu, tidakkah sepatutnya usaha ditumpukan untuk menjadi parti yang
kuat dalam PR dengan membuktikan kemampuan untuk menang di kawasan dan
negeri yang telah diamanahkan kepada PAS?
Multaqa Bertujuan Membawa PAS Keluar Dari PR?
Ada
juga wartawan yang bertanya kepada saya samada benar Multaqa Ulama
bertujuan membawa PAS keluar dari PR. Saya menjawab itulah persepsinya namun telah dinafikan oleh beberapa pimpinan Dewan Ulama PAS Pusat.
Untuk
berlaku adil, perlu juga saya sebut bahawa persepsi sebegitu timbul
oleh kerana sepanjang Multaqa tersebut, perbahasan berhubung Tahaluf
Siyaasi dan PR bernada teramat negatif. Apabila ianya berbunyi teramat negatif dan diikuti pula dengan resolusi untuk mengkaji balik,
sudah pasti persepsi yang terhasil ialah kaji balik atas sebab ianya
merugikan dan dengan itu perlu ditamatkan dengan membawa PAS keluar PR!
Oleh itu kita tidak boleh marah kalau orang mempunyai persepsi yang
sebegitu sekiranya tindakan yang dibuat memberi isyarat ke arah itu!
Walaupun
mungkin tujuan penganjur adalah untuk membincangkan aspek negatif
semata-mata supaya dikenal pasti apa yang perlu ditambah-baik, namun
persepsi yang terhasil dengan hanya membincangkan aspek negatif sahaja
adalah sesuatu yang sepatutnya dijangka. Oleh yang demikian, adalah
lebih baik sekiranya ingin membahas sesuatu, maka aspek positif dan
negatif dikemukakan bersama supaya satu persepsi dan tanggapan yang
lebih adil akan turut terhasil.
Bagi pandangan saya, adalah lebih
bermakna sekiranya Multaqa Ulama itu membincangkan hujjah-hujjah
bagaimana mengatasi dakyah UMNO yang telah berjaya menakutkan orang
Melayu sehingga tidak mengundi PAS/PR. Ini boleh tercapai dengan
memberikan kefahaman tepat kepada golongan agamawan mengenai Tahaluf
Siyaasi yang PAS telah asaskan di mana boleh didedahkan jaringan
keselamatan yang turut terkandung bagi menjamin Islam dan Melayu tidak
akan rugi.
Pada masa yang sama menumpukan juga kepada
penyelesaian permasalahan di Kedah supaya melaluinya kemampuan PAS untuk
menggalas tanggung-jawab memenangi dan memerintah Kedah dengan baik
akan dapat dizahirkan. Dengan itu keyakinan rakyat terhadap PAS di Kedah
akan dapat dibina kembali.
No comments:
Post a Comment