SHAH ALAM: Pimpinan Pakatan Rakyat mengucapkan takziah atas pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.
Jenazah bekas pesuruhjaya PAS negeri akan disembahyangkan di Masjid Markaz Pokok Sena selepas solat Asar dan dijadual dikebumi di Muassasah Darul Ulum jam 5.30 petang ini.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Azizan seorang sahabat yang baik, pemimpin PAS dan pejuang gigih yang berjasa.
“Takziah buat keluarga dan saudara mara Allahyarham Ustaz Azizan mantan MB Kedah. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah,” katanya melalui twitter.
Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan beroleh maghfirah. Al Fatihah.
“Insya-Allah, YB Iskandar Samad dan YB Sallehin Mukhyi akan mengetuai delegasi kerajaan negeri untuk melawat dan memberikan penghormatan terakhir,” tulisnya.
Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, pemergian Azizan satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam, khususnya kepada PAS.
“Takziah atas kembalinya kerahmatullah YB Dato Seri Ustaz mantan Menteri Besar Kedah (2008-2013).
“Saya berhajat benar untuk menziarahi beliau sebelum ini, tetapi disebabkan masalah kesihatan, niat itu tertangguh. Termasuklah ketika Multaqa Ulama’ baru-baru ini saya berhasrat hadir dan berniat untuk menziarahinya.
“Namun, Allah mentakdirkan ia tidak berlaku disebabkan kesihatan saya. Saya mendoakan semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan para solihin,” kata Nik Aziz.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam twitternya turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Azizan di atas pemergiaan Azizan.
Semalam, Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau dilapor kritikal selepas mengalami komplikasi jantung yang serius akibat jangkitan kuman.
Azizan, 69, yang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sejak minggu lalu dikatakan pengsan selepas serangan jantung pertama kira-kira jam 3 pagi semalam dan dipantau rapi.- FZL
No comments:
Post a Comment