KUALA LUMPUR: Seramai 412,245 daripada 1.2 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih belum membuat bayaran balik sehingga 31 Ogos lalu.
Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 328,550 peminjam, diikuti Cina (55,445) dan India dengan 28,250 peminjam.
Statistik peminjam yang tidak membuat balik pinjaman mengikut negeri tertinggi adalah Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang meminta statistik peminjam mengikut bangsa dan negeri yang tidak membayar balik pinjaman PTPTN.
Untuk menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, PTPTN telah membuka 12 pejabat agensi negeri, dua One Stop Centre dan empat pejabat cawangan di lokasi strategik seluruh negara.
PTPTN juga mengenakan tindakan penguatkuasaan dengan menyenaraihitam peminjam ke luar negara dan saman kepada peminjam bagi meningkat tahap kesedaran dan kewajipan membayar balik pinjaman.
"Tindakan yang diambil ini bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa memberikan ruang kepada pemijam," menurut jawapan bertulis itu.
PTPTN turut memberi diskaun 20 peratus atas baki pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekaligus dakam tempoh setahun bermula 1 Oktober hingga 30 September lalu.
Bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual bermula 1 Oktober tahun lalu, diskaun sebanyak 10 peratus setahun akan diberikan.
No comments:
Post a Comment