Thursday, September 26, 2013
Ku Li cadang pelan amanah ganti agihan ekonomi ikut kaum
Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa perancangan ekonomi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk program transformasi kerajaan dan program transformasi ekonomi mempunyai hala tuju yang salah.
Tengku Razaleigh yang juga pengasas Petronas dan ahli penting dalam Kabinet pentadbiran bapa Najib, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein turut menggambarkan cadangan slogan baru kerajaan “Endless Possibilities” sebagai sukar difahami.
Veteran Umno itu juga mendakwa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M1 dan 2) menyebabkan keadaan hutang negara semakin kritikal.
Pada masa sama beliau mendesak Putrajaya supaya menghentikan corak pengagihan ekonomi berasaskan kaum tertentu, sebaliknya melaksanakan pengagihan lebih adil yang juga melindungi kaum lain.
Beliau berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah lagi tidak sesuai digunakan dengan situasi ketika ini, malah langkah Najib memperkenalkan program transformasi juga tidak mencapai matlamat.
"Saya percaya tiba masanya untuk melangkah ke arah bentuk ekonomi baru," kata Tengku Razaleigh dalam ucapannya pada sidang meja bulat pagi ini di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).
Beliau juga membidas Najib yang mengumumkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera baru-baru ini sebagai satu langkah ke belakang.
"Sudah pastinya ia adalah langkah ke belakang, kerajaan sepatutnya mengambil inisiatif lain," katanya.
Tengku Razaleigh sebaliknya mencadangkan satu pelan ekonomi baru yang lebih seimbang serta tidak mengabaikan kaum lain.
"Saya cadangkan kita wujudkan satu bentuk ekonomi pemegang saham bagi tempoh sedekad ke depan, sebuah sistem ekonomi yang akan memastikan pembahagian seimbang untuk faedah pembangunan bagi semua pemegang saham dan untuk generasi masa depan, yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Saya mencadangkan pelan amanah ini dijadikan sebagai rujukan kepada negara untuk membangunkan negara pada masa depan," katanya.
Menurutnya, cadangan pelan amanah itu bertujuan memastikan kecekapan pengurusan sumber negara dan persekitaran yang seimbang untuk generasi sekarang dan masa depan.
"Ia bertujuan mencari pembaharuan institusi kerajaan untuk mengelakkan pembaziran, meningkatkan produktiviti dan mengembalikan kepercayaan amanah antara kerajaan dengan masyarakat awam," katanya.
Tengku Razaleigh berkata, pelan yang dikemukakannya juga mampu mengembalikan pertumbuhan ekonomi negara kepada tujuh peratus seperti yang pernah dicapai sekitar tahun 1990-an.
Pelan amanah yang dicadangkan tersebut mempunyai empat komponen penting untuk mencapai matlamat, antaranya ialah Strategi Pembangunan Infrastruktur Pantas (AID), Strategi Pembangunan Modal Insan (HCD), Strategi Perkembangan Industri dan Asas Tani (AI) dan Strategi Komprehensif Kewangan Islam (CIF).
"Ia akan melengkapkan Pelan Induk Sektor Kewangan yang sedang dilaksanakan," katanya.
Najib melancarkan program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang menggariskan lima teras iaitu meningkatkan daya modal insan, memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.
Bagaimanapun, penganalisis mengkritik langkah tersebut akan tersasar matlamatnya seperti polisi terdahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kumpulan kaum Melayu miskin sasaran tidak akan dapat manfaat.
DEB diperkenalkan pada 1971 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein bertujuan mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional, kemudiaan digantikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang lebih ke arah meritokrasi di samping mengekalkan keistimewaan ekonomi kepada Melayu yang menjadi asas utama dalam dasar DEB.
Pelaksanaan DEB bagaimanapun dilihat gagal untuk menaikkan taraf ekonomi kaum Melayu, malah sasaran untuk mencapai 30 peratus ekuiti juga masih tidak tercapai sejak ia dilaksanakan dan kegagalan tersebut dikaitkan dengan masalah rasuah.
"Kerajaan perlu menitikberat ketelusan dan sebuah pentadbiran yang bersih, memerangi gejala rasuah yang berterusan.
"Kerajaan perlu menangani peningkatan kos sara hidup dan hutang isi rumah, ketidakseimbangan ekonomi selama 40 tahun DEB dilaksanakan serta ketidakmampuan kerajaan pimpinan Umno untuk mengendalikan ekonomi," kata Tengku Razaleigh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment