Wednesday, September 25, 2013

Ekonomi selimut singkat

Oleh Izmil Amri



economy plunge myr

Saya tak ada anak. Mana lah saya tahu lampin pakai buang harganya berapa. Sehinggalah Ahad sudah.

Tapi sebelum itu mari kita ambil masa beberapa minit untuk merenung dompet masing-masing. Kira perlahan-lahan ada berapa ringgit dalam dompet anda. Fikirkan berapa lama anda dapat bertahan dengan wang yang anda ada itu.

Ambil kira perbelanjaan minyak kereta dan makan-minum serta perbelanjaan ‘tak semena-mena’ yang sering terjadi. Pandang isi kandungan dompet anda. Renung lama-lama. Sayunya rasa hati kan?
Berbalik kepada cerita saya.

Ada teman minta tolong saya belikan lampin pakai buang untuk anaknya yang belum pun lagi satu tahun usia. Itu petang Ahad lalu, waktu saya kebetulan pergi kenduri teman yang lagi satu. Saya pergi kenduri sebab mahu makan ‘free’. Ya lah, waktu-waktu cemas hujung bulan sebelum dapat gaji, tak berapa nak ada kemampuan. Harus jimat.

Elok suap makanan ke mulut, telefon berbunyi, minta tolong beli lampin. Selesai makan saya pun ke pasaraya terdekat. Dalam dompet cuma ada RM50.

Sekali lagi, manalah saya tahu lampin pakai buang harganya berapa.

Saya pun ambil troli, dengan niat nak beli barang-barang lain. Saya agak ‘sebungkus’ lampin begitu dalam dua puluh ringgit begitu.

Nyata saya salah.

Menghampiri rak yang menyusun bungkusan lampin pakai buang. Saya tenung harga satu-satu dan kemudian langsung mencari jenama yang disuruh beli. Terpampang harga ‘RM40.90’. Ah sudah. Saya tinggal troli di tepi, ambil bungkusan lampin dan terus berlalu pergi.

Ekonomi selimut singkat

ekonomi-pertumbuhan-121218b 

Ini realiti ekonomi masyarakat Malaysia hari ini; apa yang disebut orang sebagai ekonomi selimut singkat. Bagi memahami istilah ekonomi selimut singkat ini, mari kita belajar apa itu ‘kos peluang’.

Kos peluang mudah difahami sebagai ‘kesempatan yang hilang’. Contohnya jika anda memiliki RM1,000, anda punya pilihan untuk melancong atau membeli telefon pintar. Kalau wang yang anda ada itu digunakan untuk melancong, maka hilanglah peluang untuk membeli telefon; begitu juga sebaliknya.

Analogi teori ini sangat puitis kalau disebutkan sebagai ekonomi selimut singkat.

Kalau ditarik selimut melepasi dada, kaki terdedah kesejukan. Kalau ditutup kaki pula, dada kesejukan. Begitulah. Akan ada yang menjadi korban demi yang lain.

Dalam ekonomi dunia nyata, saya sarankan anda melihat kembali situasi kenaikan harga minyak yang diumumkan beberapa hari sejurus negara menyambut Hari Merdeka ke-56. Sebenarnya ya, harga minyak tidak naik. Apa yang berlaku adalah subsidi minyak ditarik balik oleh pihak pemerintah dalam keadaan ekonominya yang seperti selimut singkat di atas tadi.

Subsidi petrol bukan sahaja dibayar kepada pengusaha syarikat petrol demi mengurangkan beban rakyat, malah turut diberikan kepada pengusaha tenaga elektrik swasta yang kemudian menjual elektrik kepada syarikat pembekal elektrik yang menyambungkan bekalan elektrik ke rumah dan pejabat anda. Syarikat ini tidak ditarik balik subsidi mereka.

Subsidi yang memudahkan anda itu yang ditarik balik oleh kerajaan. Maka harga minyak naik 20 sen.

Soalnya sekarang bukan sahaja harga minyak jadi bertambah mahal, tetapi subsidi yang ditarik balik itu disalurkan ke mana pula? Dan kemudian bagaimana anda yang kini terpaksa menanggung kenaikan ini akan terpaksa juga mengurus kewangan dengan kenaikan harga barang yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ini?
Ya banyak persoalan yang akan buat kita sakit otak.

Sama keadaannya kalau anda diletakkan dalam bilik berhawa dingin dengan sehelai selimut singkat. Menggelabah.

Menguruskan sumber

Soal kos peluang ini timbul kerana dua perkara. Pertama, manusia mempunyai keinginan dan kemahuan yang tidak terbatas. Kedua, sumber yang ada sangat terhad.

5 debt-ratio-small 

Keadaan sumber terhad ini amat dirasai sekarang apabila kerajaan United Malays National Organisation kelihatan bertungkus lumus mengimbangkan perbelanjaan demi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat yang terpaksa berhadapan inflasi dan kos hidup tinggi. Pada masa yang sama ia masih perlu menampung lompang belanjawan akibat kerakusannya berbelanja sakan serta ketirisan yang berlaku lantaran korupsi.

Andaikan kos menurap jalan raya sepanjang 100 meter sekitar RM10,000. Andaikan saja lah; ini contoh.

Saya mana tahu berapa kos menurap jalan. Disebabkan kewujudan korupsi, maka kos ini akan membelon barangkali dua kali ganda. Mahu dapat tender turap jalan sahaja sudah perlu rasuah pengeluar tender. Bila sudah dapat tender kerana guna pengaruh politik kawan-kawan, harus keluar duit lagi untuk jamu kawan-kawan politik.

Ini penyakit yang melanda negara akibat urus tadbir berasaskan untung tanpa sedikit pun sifat amanah dan integriti. Inilah dia penyebab kenapa wujud keterhutangan dan kenapa selimut yang asal itu kian bertambah singkat.

Tahun lalu Perdana Menteri Najib Razak telah membentangkan Belanjawan 2013 bernilai hampir RM250 bilion. Belanjawan pilihan raya yang begitu besar jumlahnya, dibentang dalam keadaan negara berhutang lebih separuh daripada KDNK.

Semalam di Parlimen dibentangkan satu lagi rang undang-undang perbekalan tambahan untuk memohon kelulusan Parlimen bagi perbelanjaan tambahan yang tidak masuk dalam Belanjawan 2013 yang dibentang hujung tahun lalu. Perbelanjaan berjumlah RM14 bilion ini barangkali sudah pun dibelanjakan.

Dalam sessi Parlimen sebelum ini, satu lagi rang undang-undang perbekalan tambahan dibentangkan, bagi tujuan sama: belanja dulu, baru minta izin. Cumanya yang itu dibuat berdasarkan belanjawan tahun fiskal sebelumnya.

Biar papa asal bergaya. Gali lubang, tutup lubang. Begini cara kerajaan pimpinan UMNO membelanjakan harta negara, sambil memberikan bantuan tunai setahun sekali setelah dirampasnya subsidi demi menutup mulut dan mata anda daripada menyedari bahawa selimut tebal yang melindungi anda selama ini kian mengecil dan mengecut. Akhirnya kita sekadar tidur dengan sehelai tuala ‘Good morning’ menutup muka. – Roketkini.com

No comments: