Khairil Abdul Rahim, |
TEMERLOH: Kira-kira 100 penduduk Kampung Batu Satu di sini berdemo hari ini memprotes sikap ‘lepas tangan’ pihak berkuasa sehingga gagal menyelesaikan masalah banjir yang memakan masa lama.
Akibatnya banjir yang tidak surut-surut sejak beberapa minggu itu menenggelamkan beberapa buah restoran, bengkel, kedai menjual kereta terpakai serta beberapa buah rumah penduduk.
Lebih malang, puluhan buah rumah penduduk di kampung yang terletak hanya satu kilometer dari pusat bandar itu terputus hubungan kerana banjir menenggelamkan hubungan jalan utama.
Pemilik restoran Shakira Cafe, Izuddin Nawawi, 57, mendakwa beliau hampir dua bulan tidak dapat berniaga akibat kedainya ditenggelami air sedangkan itulah satu-satunya sumber pendapatan keluarganya.
Katanya, beliau sudah bertemu Pegawai Daerah Temerloh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan pelbagai agensi yang terlibat tetapi bagi mendapatkan penjelasan, tetapi semuanya mengecewakan kerana seolah-olah saling tuduh menuduh.
“Ada juga saya cadangkan supaya dibina saliran air yang besar antara satu perumahan dengan perumahan yang lain kerana kawasan bandar Temerloh ini banyak kawasan perumahan tetapi seolah-olah pembangunannya tidak terancang.
“Sekarang sumber pendapatan saya sudah terputus sejak sekian lama, sedangkan kami sekeluarga masih memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan,” katanya sayu.
Tambah Izuddin, jika pihak berkenaan 'tidur', itulah jadinya dengan wang rakyat banyak yang dikeluarkan tetapi masalah penduduk kampung di sini tidak juga selesai.
“Mana janji rakyat didahulukan pencapaian diutamakan serta NKRA yang sering diulang-ulang pemimpin kerajaan?” soalnya.
Menurut penduduk, mereka sering kali terpaksa meredah banjir selama betahun-tahun sejak penaikan taraf jalan Temerloh-Mentakab terutama apabila hujan lebat kerana satu-satunya kalbat yang mengalirkan air persekitaran kawasan berkenaan didakwa sangat kecil dan tidak munasabah.
Difahamkan, kalbat besar tidak dapat digunakan kerana terdapat saluran paip besar bawah tanah di tempat yang sama.
Pada ketika ini kerja pengorekan serta pemasangan kalbat oleh kontraktor tidak siap-siap sejak hampir dua bulan iaitu sebelum pilihan raya umum lagi.
Seorang lagi pemilik kedai makan Restoran Setia Damai, Mulyadi Parmen, 42, (gambar) berkata walaupun kedainya tidak ampuh tetapi turut menjejaskan pendapatan kerana air banjir yang berhampiran berbau busuk dan mengundang banyak lalat.
“Saya lihat projek memasang kalbat menyeberang jalan ini sudah terlalu lama memakan masa dan tidak pernah selesai, sebab itu saya cadangkan supaya digunakan kalbat yang besar saja. Walaupun kosnya mungkin tinggi sikit tetapi penyelesaiannya besifat jangka panjang.
“Saya mahu projek ini mesti diselesaikan segera, kalau setakat korek-korek begini hingga bertahun-tahunpun tetap tak boleh selesaikan masalah dan jejaskan perhubungan penduduk serta pendapatan kami,” tegasnya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Muhamad, yang turut hadir berkata beliau telah beberapa kali membangkitkan masalah berkenaan dalam sidang Dun.
Katanya, perkara tersebut berlaku kerana pembangunan yang tidak terancang dan tidak ada ‘master plan’ disediakan.
No comments:
Post a Comment