Peminat JDT terkandas di Larkin
Muhd Daniyal (kiri) menunjukkan tiket sumbangan Kerajaan Johor.
 
Peminat JDT terkandas di Larkin
Mohd Rasul menunjukkan resit yang diberikan penganjur.
 
JOHOR BAHRU – Hasrat seramai 125 penyokong setia Johor Darul Takzim (JDT) untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil malam ini lebur apabila bas dan tiket yang dijanjikan penganjur tidak diperolehi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penyokong mula berkumpul di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, seawal jam 6.45 pagi kononnya penganjur menyediakan tiga buah bas yang dijangka rombongan bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi.

Pekerja Swasta Mohd Rasul Abdul Razak,28, antara terawal yang tiba di stadium namun selepas hampir tiga jam menunggu bas yang dinanti tidak kunjung tiba serta gagal memperoleh tiket.

“Saya mengambil keputusan untuk menghubungi penganjur bagaimanapun, wakil mereka yang dikenali sebagai Syafiq masih memberi jaminan bas berkenaan akan sampai secepat mungkin kerana masih dalam perjalanan.

“Penganjur berjanji dengan bayaran RM110, mereka menyediakan pakej meliputi tiket perlawanan, pengangkutan pergi dan balik, sarapan pagi dan cenderahati. Saya tiada pilihan untuk memilih pakej berkenaan disebabkan banyak penganjur lain telah menutup tempahan,” katanya.

Turut menyatakan kekecewaan pelajar tingkatan empat, Muhd Daniyal A Rahim,16, yang memenangi tiket daripada pertandingan yang dianjurkan kerajaan negeri.

“Saya adalah salah seorang peminat JDT yang terpilih memenangi tiket percuma namun disebabkan hanya ada satu tiket saya mengambil keputusan untuk menyertai rombongan ini kerana rakan saya ingin turut serta.

“Selain itu, ibu bapa juga risau jika saya pergi seorang diri ke Bukit Jalil... namun tidak menyangka keterujaan kami menonton aksi perlawanan akhir itu bertukar kekecewaan, tiket ini saya simpan sebagai kenangan," katanya.

Kakitangan hotel, Norhaslinda Mohd Roslan,27, bersama lapan rakannya telah menempah pakej yang disediakan oleh penganjur melalui Facebook  manakala pembayaran juga dibuat secara online seminggu lalu.

“Jika mereka menghadapi masalah pengankutan atau tiada tiket, sepatutnya peserta rombongan diberitahu lebih awal, jadi kami masih boleh memikirkan rancangan lain untuk ke Bukit Jalil asalkan kami dapat ke stadium.

“Kami tidak pernah terlepas ke Stadium Larkin setiap kali perlawanan membabitkan JDT, saya dan rakan-rakan mengambil keputusan menyewa dua kereta untuk ke Kuala Lumpur. Apabila tiba si sana barulah kami mencari tiket sekiranga kami bertuah ada pihak yang ingin menjual tiket disaat akhir,” katanya.

Kira-kira jam 11 pagi wakil penganjur, Mohd Syafiq Zarif Zainuddin tiba di lokasi berkenaan dan cuba menenangkan penyokong sebelum beredar.

Beliau kemudiannya kembali dan memulangkan semula wang berjumlah RM11, 310 kepada penyokong dan sempat memohon maaf.

Walaupun mendapat bayaran semula, ia tetap mengecewakan penyokong-penyokong yang bersemangat memberi sokongan kepada pasukan JDT. Namun keadaan masih terkawal dan tiada insiden tidak diingin berlaku.