Editor buletin
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, pihaknya juga bersedia membantu dengan membekalkan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) bagi membela anak muda yang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi keberanian anak-anak muda dalam mempertahankan kebenaran meskipun mereka berdepan dengan risiko ditangkap dan dipenjarakan.
Keengganan Safwan Anang untuk diikat jamin sebanyak RM 5,000 membuka mata semua pihak bahawa beliau adalah simbol rakyat yang dizalimi. Beliau juga menunjukkan suatu sikap seriusnya anak muda dalam memperjuangkan demokrasi yang kian nazak di negara ini.
“Pemuda Pas melihat kebangkitan anak-anak muda seperti Safwan dan Adam Adli merupakan suatu fenomena luar biasa di negara ini.
“Di negara lain, sekiranya mahasiswa dan anak muda sudah mula berani turun berhimpun, ia menandakan zaman gelap kepada pemerintah dan permulaan cerah untuk pembebasan bagi rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian dan demokrasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam pada Rabu 29 Mei, Safwan yang ditahan atas dakwaan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan tidak mahu diikat jamin sebagai tanda protes.
Sinar Harian Online difahamkan, peguam yang mewakili Safwan, Ariff Azami Hussein telah cuba memujuknya namun beliau berkeras untuk tidak diikat jamin.
Sementara itu, minggu lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan tahanan reman ke atas Adam Adli dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Adam Adli dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama dan kes akan disebut semula pada 2 Julai depan.
Dalam pada itu, dakwa Raja Ahmad, penangkapan Adam Adli dan Safwan adalah titik tolak kebangkitan anak-anak muda.
Dakwanya, kerajaan tidak boleh menganggap penangkapan mahupun mahasiswa ini boleh mendiamkan mulut ratusan ribu anak-anak muda.
“Dua orang anak muda ditangkap, ribuan lagi Safwan dan Adam Adli akan muncul dari celahan kebangkitan anak-anak muda,” dakwanya lagi.
No comments:
Post a Comment