Perkara yang berkaitan SPR ini boleh dilihat dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan di mana ia berperanan sebagai sebuah suruhanjaya yang menyelia pilihan raya. Daripada suatu segi, sepertinya ia diperakui sah kedudukannya oleh perlembagaan
Tetapi, isu hari ini bukan lagi melibatkan persoalan sama ada SPR itu masih relevan atau tidak. Ia adalah persoalan keyakinan rakyat terhadapnya. Biarpun ia terpahat dan tertulis di dalam perlembagaan, tapi ia mestilah diyakini untuk menjalankan peranannya sebagaimana yang dikehendaki rakyat.
Insiden kepenggunaan dakwat kekal yang mengakibatkan keyakinan rakyat tercalar termasuk kejadian terputusnya bekalan elektrik di beberapa buah tempat pengundian, termasuk pendedahan berhubung kehadiran rakyat Bangladesh telah membuktikan bahawa SPR hari ini berdepan dengan masalah besar.
Masalah besar ini sudah berada di tahap terhakisnya kepercayaan rakyat ke atasnya. Dan, jika SPR gagal melaksanakan tuntutan rakyat anjuran Bersih sebelum ini, maka pesuruhjaya SPR perlulah ditukar ganti dengan pesuruhjaya yang lain pula.
Tugas SPR antara lainnya adalah mendaftarkan pemilih. Hal ini pun tidak dilaksanakan SPR. Ada tuntutan yang tidak diendahkan iaitu gesaan agar didaftarkan terus para pemilih itu setelah cukup usia mengundi.
Pendek kata, banyak kelemahan yang jelas ketara wujud jika hendak diselak kelemahan ini satu persatu. Jadi, kepada siapakah yang perlu rakyat adukan permasalahan SPR ini.
SPR mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Hari ini, setelah melalui beberapa perubahan, SPR memiliki pengerusi, timbalan pengerusi serta lima ahli, yang mana kesemua ahlinya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong selepas dipersetujui melalui suatu perundingan bersama Majlis Raja-Raja Melayu.
Berdasarkan catitan di dalam perlembagaan, disebutkan bahawa - ketika melantik Ahli-ahli Suruhanjaya, Yang Dipertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.
Hal inilah yang paling penting untuk dinyatakan di sini iaitu ahli-ahli suruhanjaya SPR itu mesti mendapat kepercayaan awam bagi pihak rakyat seluruhnya. Ini bererti rakyat boleh menghantar rasa tidak percaya mereka terhadap Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Bagaimanapun cabaran itu masih ada apabila wujud dasar campurtangan Perdana Menteri secara halus. Misalnya, walau Perlembagaan tidak nyatakan peranan PM, tapi dalam Perkara 40 disebut bahawa, Raja mestilah mematuhi nasihat PM, dan membuat perjumpaan antara Suruhanjaya berasaskan nasihat PM.
Bagaimanapun, oleh kerana hal ini bersifat halus dan tidak dinyatakan secara jelas, maka sentiasa wujud ruang bagi rakyat untuk mendebatkannya semula. Contohnya rakyat juga yang lebih berkuasa dibanding PM kerana rakyat itulah yang mengundi sehingga terbentuknya kerajaan yang ada sekarang.
Akan sentiasa wujud rasa tidak percaya terhadap Najib Razak dan SPR. Maka, di sinilah setidak-tidaknya wujud ruang untuk rakyat berselisih pendapat dengan PM Najib Razak terhadap perjalanan SPR itu.
Rakyat boleh keluar di jalan raya ke Istana Negara untuk mengirim isyarat ke atas Agong berhubung rasa tidak yakin ke atas Najib Razak, SPR pada hari ini. Ringkasnya kita boleh meminta Agong melantik semula ahli-ahli suruhan jaya tanpa melalui Najib Razak yang sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan rakyat.
Hal ini kerana terisytiharnya Najib Razak sebagai PM pun adalah hasil undian rakyat jua. Rakyat bolehlah mengadakan pungutan suara daripada semasa ke semasa berhubung ketidakyakinan mereka ke atas SPR itu. Harus diingat bahawa kekuasaan rakyat mengatasi kuasa PM Najib Razak.
Jadi, meskipun tercatat bahawa anggota suruhanjaya mesti meletakkan jawatan secara sukarela setelah mencapai umur 65 tahun, namun jika rakyat sudah tidak lagi mempercayai mereka, maka untuk apa lagi ditunggu sehingga usia mereka mencapai 65 tahun?
Apa-apa pun, rakyat perlu bersedia lebih awal. Iaitu, mereka perlu segera memutuskan, siapakah calon-calon SPR pilihan rakyat yang lebih diyakini bagi menyelia pilihan raya hari ini.
Mesyuarat-mesyuarat rakyat perlu dijalankan sekarang untuk menamakan calon-calon itu kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Agong. Jika Najib Razak tak bersetuju, maka Najib adalah seorang penderhaka raja dan pengkhianat kepada mandat yang diberikan oleh rakyat.
Ya inilah persoalan paling penting dan pertanyaan yang getir tapi mustahak dijawab hari ini, “Siapa calon pesuruhjaya SPR yang baru bagi menggantikan pesuruhjaya korup yang lama itu?”
Kita perlu ingat, ketika membuat tuntutan ini, kita tuntut hak seperti yang dicatat dalam perlembagaan - ketika melantik Ahli-ahli Suruhanjaya, Yang Dipertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat ‘kepercayaan awam’.
No comments:
Post a Comment