Wednesday, March 27, 2013

Negeri Sembilan catat sejarah, DAP-PR siap sedia terima mandat rakyat

Roketkini.com



SEREMBAN, : Negeri Sembilan mencatat sejarah buat kali pertama sepanjang 56 tahun kemerdekaan negara kerana Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan biarpun mandat lima tahun memerintah sudah tamat tempoh.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini merupakan manifestasi ketakutan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadapi kebangkitan rakyat.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Perdana Menteri tidak berani bubarkan Parlimen.

“Apapun, kita dapat lihat betapa terdesaknya Najib sehingga sanggup merendahkan martabatnya sebagai Perdana Menteri dengan berlakon sebagai pemain gendang dalam iklan Tahun Baru Cina,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 6,000 hadirin.

Sehubungan itu, Loke menyifatkan ketakutan BN ini berikutan komitmen rakyat untuk berubah dan berani menyuarakan rasa tidak puas hati mereka sejak himpunan aman Bersih sehingga pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112), 12 Januari lalu.

“Sebelum 2008 kita tidak pernah lihat keadaan di mana rakyat bangkit secara terang dan berani. Kini tiap-tiap malam, ceramah Pakatan Rakyat (PR) mendapat sambutan hangat.

“Sekarang Parlimen belum bubar, kita sudah dapat lihat suhu pilihan raya semakin meningkat. Bila bubar nanti, kita akan lihat bagaimana rakyat Negeri Sembilan akan menterjemahnya kepada undi,” kata Loke.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan turut menempelak Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mendakwa hanya ‘orang Cina’ mahu berubah.

“Ini kenyataan yang tidak benar. Jika anda ke HKL112, kita dapat lihat begitu ramai orang Melayu khususnya orang  muda bersama menyertai perhimpunan itu. Ia termasuk sokongan ramai kalangan anak muda India,” ujarnya.

Mengulas mengenai suasana politik negeri di selatan Semenanjung Malaysia, Loke menaruh keyakinan gelombang tsunami politik kedua akan berlaku berdasarkan sambutan hangat rakyat pada setiap aktiviti dan program anjuran DAP mahu pun PR.



“Sebelum 2008 tidak pernah ada keadaan begini,” katanya.

Beliau juga berpendapat keputusan berisiko Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah bukan hanya untuk menambah kerusi di Parlimen tetapi mempunyai sasaran yang jauh lebih besar.

“Menang atau kalah perkara lain. Yang penting kita nak cetuskan tsunami bermula dari Johor; Gelang Patah, Batu Pahat, Kluang dan bila tsunami ini sampai ke Negeri Sembilan,  tibalah masanya kita ambil obor perjuangan ini dan tumbangkan BN di Putrajaya!” ujarnya.

Negeri Sembilan sebelum ini pernah dilanda isu kontroversi membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila dikaitkan dengan skandal penerokaan hutan simpan kekal seluas 487.3 hektar.-Roketkini.com

No comments: