Friday, March 29, 2013

Zul Nordin hina agama Hindu, Umno kena bertanggungjawab – Surendran

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Umno BN mesti bertanggungjawab di atas kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli Nordin yang menghina agama Hindu, kata N Surendran.

Dalam ceramahnya menerusi video yang tersebar di internet semalam, Zulkifli memperlekehkan kesucian agama Hindu dengan menggambarkan penganutnya menyembah tuhan mereka yang hanya diperbuat daripada batu.

Kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, bencana alam yang melanda kedai jual patung tuhan Hindu juga turut dilanda banjir, sedangkan premis itu menjual peralatan kebanggaan agama Hindu.
N.Surendran1
Surendran berkata, penghinaan Zulkifli itu boleh mencetuskan api perkauman kerana mempersenda kesucian agama mereka.

“Umno BN tidak boleh lari dari tanggungjawab ini. Ini serangan kejam Zulkifli yang melakukan penghinaan besar kepada masyarakat India Malaysia, yang majoritinya beragama Hindu.

“Dalam kes ini, Zulkifli terlalu menghina dan mencemuh rakyat Hindu dan agama mereka. Serangan beliau paling teruk pernah dilakukan kepada agama di negara ini,” kata Naib Presiden KEADILAN itu pada kenyataan.

Ekoran itu, Surendran menggesa polis dan Peguam Negara segera menyiasat Zulkifli yang jelas melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“Perkataan yang diucapkan Zulkifli jelas satu kesalahan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perasaan permusuhan dan kebencian berkaitan agama.

“Kami menyeru Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk siasat segera dan menahan Zulkifli di bawah seksyen tersebut,” tegas Surendran.

Pada 2010, Zulkifli dipecat daripada KEADILAN ekoran kesalahan berulang-ulang melanggar dasar dan pendirian parti. Kemudian beliau yang lantang memburukkan KEADILAN semakin mesra dengan Umno.

Kini Zulkifli menganggotai NGO Perkasa, sekutu rapat Umno, yang dilihat ‘kebal’ undang-undang apabila seringkali mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan. – NS

No comments: