Wednesday, March 27, 2013

Makna di sebalik kata-kata “hutang mestilah dibayar”

Oleh Steven Sim



BARU -BARU  ini saya membaca sebuah buku oleh David Graeber bertajuk Debt (Hutang). Pada awal buku ini, penulis merakamkan kembali perbualan beliau dengan seorang kenalan. Katanya, dia memperjuangkan penghapusan hutang Dunia Ketiga. Kenalannya itu menjawab, “Tetapi .. mereka yang meminjam wang! Kalau berhutang mestilah dibayar”.

Di negara kita Malaysia, kita pun membincangkan perkara yang sama apabila bercakap soal PTPTN; “hutang mestilah dibayar”. Sebelum saya menjawab persoalan ini, izinkan saya mencabar andaian di sebalik hujah “hutang mestilah dibayar”.

Soal “hutang mestilah dibayar” berkait soal tanggungjawab dan hak. Asasnya, satu pihak memiliki beban tanggungjawab atas pihak lain atas sesuatu kelebihan atau kenikmatan yang diterima. Kelihatannya seakan adil, tapi adakah betul demikian?
Masalah dengan andaian di atas adalah; ia mengandaikan kedua-dua pihak adalah setara. Tetapi realitinya bukan begitu. Pihak yang memiliki modal dan sumber yang lebih besar atau teknologi yang lebih baik pasti memiliki daya tawaran yang lebih.

Bagaimana pula dengan kewajiban pemiutang?

Beban tanggungjawab sering diletakkan kepada pihak yang lebih lemah daya tawarannya. Gambaran yang paling jelas adalah hubungan antara pemiutang dengan penghutang seperti di atas – selalunya perbincangan adalah berkenaan kewajiban moral penghutang. Tapi bagaimana pula dengan kewajiban moral pemiutang?

Daripada perspektif lain, hubungan ini meletakkan pihak yang lebih berkuasa sebagai penentu permainan; sama ada kamu setuju dengan syarat kami, atau kamu tak perlu berurusan dengan kami. Mereka yang lebih kaya, akan berada di atas dan menentukan peraturan yang wajib dipatuhi. Situasi ini telah diterima sebagai satu “realiti” yang tidak boleh disanggah. Malah, jika berlaku sesuatu yang tidak menepati “realiti” ini, kita disuruh ubah diri kita, bukannya mengubah “realiti” tersebut
Izinkan saya memberikan senario lain. Berapa kerap kita mendengar ayat, ‘kalau tak mampu, tak usah beli’. Ayat begini sering diberikan kepada orang ramai dan pengguna. Kita diberitahu bahawa tanggungjawabnya adalah di atas kita untuk menentukan sama mahu membeli atau pun tidak, bukan kepada penjual untuk menurunkan harga.

Bagi hujah begini, jika produk yang dimaksudkan adalah beg tangan Birkin, tak apa lah. Munasabah juga. Tapi bagaimana jika produk tersebut adalah perkhidmatan kesihatan? Atau ubat yang kritikal? Adakah pembeli ada pilihan untuk ‘tidak membeli kalau tak mampu’?

Baru-baru ini, organisasi tempat kerja saya diminta untuk menyokong pungutan suara menentang Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Perjanjian perdagangan bebas multi-nasional ini antara lainnya bertujuan mengukuhkan perlindungan terhadap harta intelek dalam kalangan negara ahli. Ini memberi kesan kepada capaian kepada ubatan mampu milik, khasnya yang kritikal. Saya nyatakan sebahagian isi perjanjian sebagaimana di bawah;

Treatment of non-communicable diseases and communicable diseases alike require affordable generic medicines and affordable technology, and we categorically oppose US demands for longer and stronger patents on medicines and medical technologies that are essential to save Malaysian lives…”

Ubatan yang telah dipatenkan sangat mahal berbanding ubat generik:

- Glivec, sejenis ubat barah gastrointestinal berharga RM10,000 sebulan untuk seorang pesakit;
- Sorafenib Tosylate, ubat untuk barah hati dan buah pinggang berharga RM9,865 setiap bulan untuk seorang pesakit, manakala versi generik ubat tersebut hanya kira-kira RM370 – RM501 (US$116 – US$157) setiap bulan”

Dalam kes ini, apakah wajar untuk kita mengatakan, ‘tak usah beli jika tidak mampu’ kepada pesakit yang menderita dan nazak? Bagaimana pula dengan tanggungjawab syarikat pengeluar ubatan ini? Apakah ubatan ini untuk pesakit atau untuk wang?

Ubah! atau ubah gaya hidup?

Kita akhirnya terbiasa dengan budaya tidak mempersoalkan sistem, tetapi mengubah cara kita menanggapi sesuatu. Tetapi persoalannya; mengapa kita harus menerima kenyataan bahawa masyarakat tiada harapan kerana mereka tidak mempunyai kuasa ekonomi untuk menghasilkan sesuatu atau untuk menjalinkan hubungan dengan pihak pemerintah bagi mengekalkan realiti yang jelas tidak adil itu. Kita tidak dibenarkan untuk mempersoalkan struktur yang ada, malah kita pula diminta mengubah gaya hidup!

Mungkin satu lagi contoh yang baik mengenai persamaan sosial yang berat sebelah adalah antara rakyat dan kerajaan. Realiti yang diterima seolah-olah memerlukan rakyat taat kepada kerajaan, untuk setia kepada pemimpin, dan dalam kes Malaysia, kita juga diminta untuk bersyukur. Dalam kata lain, rakyat memiliki bebanan kepatuhan moral, tanggungjawab terhadap kerajaan.

Malah kita sering diingatkan dengan kewajiban ini, hinggakan hubungan antara sayangkan negara dengan sayangkan kerajaan menjadi kabur. Kita diingatkan bahawa mempertahankan parti pemerintah bererti mempertahankan negara.

Tapi bagaimana pula dengan tangungjawab moral kerajaan?

Apakah kerajaan sememangnya bertangungjawab untuk membina hospital dan jalan raya? Bagaimana pula dengan urus tadbir baik dan anti-rasuah? Bagaimana dengan keadilan dan kesaksamaan. Bagaimana dengan hak asasi manusia dan kebajikan?

Haruskah kita bersyukur adanya balai polis dengan tidak menuntut profesionalisme dalam pasukan polis? Haruskah kita bersyukur dengan adanya blok-blok hospital dengan tidak menuntut perkhidmatan perubatan yang berkualiti? Haruskah kita bersyukur kerana kerajaan membina jalan raya dengan tidak menuntut supaya kerajaan juga perlu telus dalam penganugerahan kontrak awam?

Dalam realiti kini, di mana kerajaan merupakan pihak yang memiliki daya tawar yang besar, apabila timbul masalah, rakyat yang harus dipersalahkan dan diminta untuk mengubah cara hidup mereka (dan bukannya mengubah kerajaan?)

Pilihan sebagai ilusi

Mari kita kembali semula kepada buku Graeber; cara beliau membalas soalan kenalannya bagi mengingatkan bahawa pemiutang juga memiliki kewajiban untuk dipatuhi sangat menarik. Bagi berlaku adil dengan kenyataannya, berikut saya lampirkan petikan langsung dari buku beliau;

“Where to start? I could have begun by explaining how these loans had originally been taken out by unelected dictators who placed most of it directly in their Swiss bank accounts… Or to think about how many of these poor countries had actually already paid back what they’d borrowed three or four times now, but that through the miracle of compound interest, it still hadn’t made a significant dent in the principal.

“…Actually, the remarkable thing about the statement “one has to pay one’s debts” is that even according to standard economic theory, it isn’t true. A lender is supposed to accept a certain degree of risk. If all loans, no matter how idiotic, were still retrievable – if there were no bankruptcy laws for instance – the results would be disastrous…Say I were to walk into the nearest branch of the Royal Bank of Scotland and say “You know, I just got a really great tip on the horses. Think you could lend me a couple million quid?” Obviously they’d just laugh at me. But that’s just because they know if my horse didn’t come in, there’d be no way for them to get the money back. But imagine there was some law that said they were guaranteed to get their money back no matter what happens, even if that meant, I don’t know, selling my daughter into slavery, or harvesting my organs or something. Well, in that case, why not?”

Ya, PTPTN mungkin berbeza dengan pinjaman kepada diktator dunia ketiga. Tapi cuba fikirkan; adakah mahasiswa punya pilihan sedari awal untuk tidak membuat pinjaman? Kita diberitahu bahawa mereka di bawah 21 tahun tidak boleh mengundi, dan mahasiswa terlalu muda untuk menyertai politik, tetapi mereka cukup layak untuk berhutang sehingga RM30,000.00 hanya kerana ibu bapa mereka tidak mampu untuk menyara pengajian anak mereka di universiti, meskipun di universiti awam.

Apabila keperluan seperti pendidikan dan perubatan menjadi barang dagangan seperti beg tangan Birkin, sebagaimana pesakit tiada pilihan kecuali membeli ubatan yang mahal, mahasiswa tiada pilihan kecuali berhutang dengan PTPTN atau mana-mana pinjaman pengajian; tiada sesiapa mampu memilih kerana pilihan yang ditawarkan hanya ilusi.

Ubah: ulang fikir

Mengapa saya menulis artikel ini? Kerana semua daripada kita sedar bahawa kita kini diambang pilihan raya paling bersejarah di negara kita. Ramai yang mengharapkan suatu perubahan yang hakiki. Tetapi apakah perubahan itu hanya perubahan kepimpinan?

Masalah paling mendasar bukanlah pada parti politik, tetapi lebih rumit dan sistemik daripada itu; yang melibatkan nilai yang melatari hubungan kita dalam masyarakat. Nilai dan perspektif yang menjurus kepada pemikiran “hutang mestilah dibayar” yang meletakkan beban kewajiban hanya ke atas pihak yang lemah. Maka, perubahan sebenar adalah dengan menyusun semula hubungan sosial.

Ya, kita mampu berubah dan kita perlu berubah kerana kerajaan sedia ada tidak mampu untuk mengubah aturan sedia ada – mereka telah terjebak terlalu jauh dalam sistem ini, malah menyuburkannya.

Oleh yang demikian, saya melihat manifesto Pakatan Rakyat sebagai pengubah aturan lama ini. Janji Pakatan Rakyat untuk memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan tinggi percuma bukan bertujuan memberi muka kepada peminjam yang culas. Sebaliknya, ia merupakan skema yang lebih luas, ia sepatutnya dilihat sebagai usaha untuk mempersoalkan status quo yang tidak lagi berdaya untuk berdepan dengan cabaran terkini hidup bermasyarakat.

Manifesto Pakatan Rakyat berhasrat memeriksa semula dan menyusun semula aturan ini. Melakukan perkara yang sama tidak lagi mencukupi – kita perlu mengulang fikir keseluruhan sistem, lantas mengimbangkan semula kewajiban sosial yang kini tidak saksama.

Menarik apabila Pakatan Rakyat menggunakan model Seratus Hari Pertama sebagai kempen pilihan raya mereka. Ini merupakan ide yang diperkenalkan oleh Franklin Delano Roosevelt, lebih dikenali sebagai FDR, Presiden USA ketika Great Depression dan Perang Dunia Kedua. Dalam Seratus Hari Pertama beliau, FDR melancarkan beberapa siri program untuk mengeluarkan negaranya daripada malapetaka sosial dan ekonomi terburuk dalam sejarah Amerika.

Program beliau yang disebut ‘New Deal’ bertujuan mengubah aturan sosial bagi membantu ‘mereka di tingkat paling bawah piramid ekonomi’. Dr. Raymond Moley, penasihat utama FDR mengingatkan beliau bahawa kempennya harus dilihat sebagai alternatif yang jelas, ‘bukan sekadar pilihan antara dua nama yang memiliki doktrin reaksionari yang sama’. Lawannya, Presiden Herbert Hoover sendiri mengakui ketika kempen pilihan raya presiden tahun 1932, di mana FDR menang, ‘ini bukan perlawanan antara dua orang individu tetapi persaingan antara dua falsafah pentadbiran’.

Tahun 1932 untuk USA adalah tahun 2013 untuk Malaysia. – Roketkini.com

Penulis adalah  Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Pengarah Pendidikan Politik DAPSY

No comments: