Thursday, March 28, 2013

Jamil Khir kata belum pasti jadi calon di Jerai

 


 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau masih belum pasti akan diletakkan sebagai calon di kawasan parlimen Jerai – seperti yang ditimbulkan sesetengah pihak.

Jamil Khir ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini menegaskan, beliau masih belum diberi mana-mana kawasan untuk ditandinginya.

azlan“Jadi nak sebut kawasan saya (tak tepat), saya hanya dilahir di Sedaka, Yan Kedah. Tetapi kawasan (bertanding) saya tak adalah.

"Terpulang kepada perdana menteri (untuk tentukan kawasan). Kalau dipilih, saya akan bertanding untuk membantu membangunkan agama dalam konteks negara kita," katanya sambil tersenyum.

Mengulas mengenai peluang BN untuk merampas semula negeri Kedah, senator BN itu mendakwa rakyat Kedah kini sudah membuat keputusan dan dapat menilai manifesto Pakatan Rakyat serta masalah yang timbul dalam pentadbiran negeri itu.

"Saya yakin, rakyat dapat melihat manifesto, janji dan masalah-masalah yang berselirat dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya sambil memberi contoh antaranya masalah Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan masalah kawasan tadahan air.

"Kemudian dengan janji pembangunan perumahan rakyat yang masih di peringkat tolak tanah. Belum buat lagi bangunan. Jadi semua ini menjadi penilaian rakyat.

"Saya melihat rakyat sudah dapat membuat keputusan. Hanya menunggu untuk dihulur kertas undi sahaja. Keputusan sudah ada ditangan rakyat pada hari ini," katanya.

Tambahnya, keadaan pada waktu ini juga memberi peluang kepada pemimpin politik untuk merancakkan usaha bagi menarik sokongan memandangkan perdana menteri masih belum membuat pengumuman untuk pembubaran parlimen.

"Hanya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak saja yang tahu bila pembubarannya. Yang suhu kepanasan di peringkat politik begitu tinggi.

"Tetapi saya melihat bagi orang politik, inilah masanya untuk merancakkan lagi, usaha dan pendekatan untuk menarik penyokong," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, calon PAS Mohd Firdaus Jaafar menang kerusi Jerai dengan menewaskan calon BN Datuk Paduka Badruddin Amiruldin dengan majoriti 2,299 undi.

Mohd Firdaus memperolehi 26,510 undi, manakala Badruddin mendapat 24,211 undi sekaligus merampas kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum 2004.

No comments: