Sunday, November 25, 2012

Pas: Najib risiko jika BN menang tipis

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
 
SHAH ALAM - Ramalan Barisan Nasional (BN) hanya akan menang 120 kerusi jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan sekarang membuktikan Pakatan Rakyat (PR) berjaya menjadi seteru politik paling digeruni Kerajaan Pusat sepanjang empat tahun ini dan satu risiko kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, realiti itu tambah meyakinkan dengan penemuan kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Dapatan Dr Shamsul Amri itu seolah-olah satu pengakuan bahawa kekuatan Pakatan Rakyat itu tidak boleh dipandang mudah sebab daripada 140 kerusi sekarang ini sudah merosot kepada 120 kerusi," katanya.

Berdasarkan hasil kajian yang mengambil kira prestasi dari pelbagai sudut termasuk pembentangan Bajet 2013 dan insentif yang diumumkan pada September lalu, Shamsul berkata, kemenangan akan memihak kepada BN.

“... mereka akan dapat minimum 120 kerusi. Sekarang 140 kerusi, 24 kerusi kelabu, baki 70 kerusi Pakatan Rakyat... (pada keseluruhan) majoriti tipis," katanya yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara.

Bagaimanapun Shamsul tidak menolak kemungkinan jumlah kerusi BN akan meningkat naik tetapi tidak akan turun kurang daripada 120 kerusi seperti yang diramalkannya.

“Kemungkinan jumlah kerusi yang akan dimenangi BN naik itu ada... berdasarkan pada apa yang berlaku Oktober dan November,” ujar beliau.

Mengakui bahawa ramalan Shamsul itu munasabah, Dzulkefly berkata, senario politik semasa membuatkan kedua-dua parti tidak dapat membuat telahan yang tepat - parti mana yang akan meraih kemenangan, waima untuk sebuah kemenangan tipis.

"Saya kira itulah antara sebabnya, mungkin kenapa Datuk Seri Najib yang mengetahui tentang realiti itu sehingga hari ini beliau tidak dapat membubarkan Parlimen," ujarnya.

Malah katanya, Najib secara peribadi akan berhadapan dengan risiko disingkarkan ekoran rekod buruk dalam karier politiknya jika hanya mampu memberikan kemenangan tipis kepada BN.

"Perkara ini berlaku kepada Pak Lah. Kerana kalau menang BN tetapi dengan kemenangan yang tipis, Datuk Seri Najib bakal menjadi orang yang kalah dalam pilihan raya ini kerana Umno-BN, Umno khususnya tidak akan mengizinkan beliau memimpin Barisan Nasional," katanya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, kini semuanya bergantung pada kebijaksanaan rakyat untuk memilih parti mana yang lebih berhemah dalam mentadbir urus negara ini dalam tempoh di mana PR memberikan saingan kepada kerajaan di beberapa negeri.

"Makanya pertarungan PRU13 ini akan ditentukan oleh sejauh mana kedua-dua belah pihak dapat membuktikan siapa yang sebenarnya telah membuktikan dalam laluan empat hingga lima tahun ini, pentadbiran mereka itu lebih baik daripada yang lain," tegas beliau.

Untuk rekod, pada pilihan raya lalu, BN memperoleh 140 kerusi manakala pembangkang menang 84 kerusi, di mana ia adalah rekod terburuk BN.

PR optimis pihaknya akan menambah kerusi di Johor, Negeri Sembilan termasuk Sabah dan Sarawak.

No comments: