Tuesday, November 27, 2012

‘Jangan terburu-buru nak jadi calon Umno’

 
Adun Umno Semerah juga menasihatkan Pemuda supaya tidak mengejar jawatan. 



PETALING JAYA: Seorang Adun Umno di Johor menasihatkan Pemuda Umno supaya tidak mencampuri urusan pemilihan calon untuk pilihan raya umum mke 13 nanti.

Pada masa sama, Adun Semerah, Datuk Ariss Shamsuddin menasihatkan orang muda supaya tidak terburu-buru mengejar jawatan serta bertanding dalam pilihan raya.

“Dalam soal calon terpulang kepada pimpinan…sama ada calon orang Pemuda, Wanita, Puteri bergantung kepada pucuk pimpinan.

“Waktu ini kita kena bersatu untuk menghadapi pilihan raya umum,” kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas  permintaan Ecco Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Che Aseh yang dilaporkan sebagai berkata, perlu ada peralihan generasi di dalam Umno menjelang PRU-13 untuk mengelakkan parti itu dilihat sebagai tidak mesra pengundi muda.

Kata Muhd Khairun, situasi semasa di mana kurangnya wakil rakyat muda daripada Umno adalah sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani segera sejajar dengan polisi-polisi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru beliau berharap agar komitmen parti mengatasi masalah tersebut dapat dicapai kepimpinan parti pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ke-66 yang akan bermula esok.

Peluang apabila tiba waktu



Bagaimanapun, Ariss menegaskan, Umno tetap memberi peluang kepada orang muda apabila tiba waktunya.

Beliau berkata, beberapa wakil rakyat Umno dipilih bertanding semasa mereka masih dalam Pemuda.
Antaranya, Datuk Razali Ibrahim (Muar), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud), Abdul Syukur Idrus (Kuang) dan Datuk Idris Harun (Tangga Batu).

Ariss juga menegaskan orang muda menyokong Umno sekalipun calon yang bertanding bukan dari golongan itu.

Ariss berkata, perkara itu berlaku di Parlimen Parit Sulong di mana kerusi Semerah terletak di kawasan tersebut.

“Di sini orang-orang yang menyokong dan memenangkan kita (Umno),” katanya lagi.

Turut baca:
Umno, parti Melayu yang relevan

No comments: