Thursday, November 29, 2012

Lakonan pejuang Melayu bermula semalam

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR- Seperti dijangka Umno akan jadikan persidangan kali ini sebagai peluang untuk membelasah Pakatan Rakyat, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

“Maklumlah parti yang sedang hendak menuju ajal, menggelupor seperti lembu yang hendak mati,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya Umno terpaksa berlakon sebagai pejuang Melayu dan agama walaupun hakikatnya pengkhianatan berlaku angkara 55 tahun Umno memerintah

Beliau berkata, Umno sekarang sudah hilang ideologi dan idealisma perjuangan.

Tambahnya, mereka sudah kehilangan sokongan Melayu yang celik maklumat dan celik agama, cuma Umno disokong oleh ahli yang ada kepentingan projek sahaja.

Menurutnya, pemimpin Umno tahu bahawa Melayu akan mengundi dengan emosi, maka ini yang menjadi strategi Umno.

“Ucapan pemimpinnya penuh dengan emosi bahawa Melayu akan hilang jika Umno tumbang pada hal yang mengkhianati sesama Melayu ialah Umno. Mereka diberi kuasa, dengan kuasa mereka menindas Melayu,” katanya lagi.

Idris berkata, terlalu banyak jika hendak disenaraikan dosa Umno kepada Melayu tetapi Umno ‘membaling batu sembunyi tangan’ atau pun ‘seperti pencuri menjerit pencuri’.

Katanya, Umno fikir dengan bersandarkan Melayu maka ia boleh menipu rakyat kerana andaiannya, Umno boleh membuat apa sahaja kerana dia Melayu.

Ini,ujarnya seolah-olah Melayu maksum, walaupun perasuah, penindas sesama Melayu, asalkan daripada kelompok Umno.

Mengenai Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca doa ketika merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri agar jauhkan Umno daripada menjahanamkan sesama sendiri, Idris berkata walau pun hakikatnya Umno hanya pandai berdoa, tetapi pemimpin merekalah menjahanam sesama bangsa dan agama.

Tambahnya, penafian hak kepada Kelantan, mematikan institusi masjid dengan melantik mereka yang bukan ahli masjid, menukar guru yang tidak menyokong Umno, sebagai contoh suami Cikgu Normala Sudirman, menyekat projek kepada orang tidak sealiran dengan Umno dan lain-lain

“Apakah ini bukan menjahanam sesama sendiri?” tanya Idris.Harakahdaily

No comments: