Thursday, November 29, 2012

Rakyat yang akan mengubah kerana UMNO sudah tidak boleh berubah – Lim Kit Siang

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Jika beginilah sikap UMNO yang masih tidak pernah mahu berubah sejak dulu, sebab itu rakyat wajar mengubahnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Pembangkang DAP, Lim Kit Siang, berkata berdasarkan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ketika merasmikan upacara penutup Forum Antarabangsa 2012 sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-66 pelbagai tuduhan karut dan tidak lojik dilemparkan kepada DAP.

Katanya, manakala ketika merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO, Muhyiddin melabelkan DAP sebagai “rasis” dan “cauvinis’.

“Saya memang tidak sangka seorang pemimpin nombor dua negara yang sebelum ini bersikap sederhana, kini bertukar menjadi kasar dan “bersumpah-sumpah” 24 jam,” ujarnya.’

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, tuduhan Muhyiddin itu ternyata tidak benar kerana pemimpin DAP terbuka menyatakan sokongan kepada konsep 1Malaysia yang mana rakyat mesti terlebih dahulu menganggap diri mereka rakyat Malaysia sebelum kaum, agama, kawasan atau status sosio-ekonomi,” jelas Lim dalam satu kenyataan.

Katanya, tomahan Muhyiddin itu bukan lagi sesuatu yang menghairankan kerana tahun lalu dia sudah mencipta rekod sebagai Timbalan Presiden UMNO pertama yang menipu secara terang-terangan ketika berucap pada perhimpunan yang sama.

“Muhyiddin dengan sewenang-wenangnya menuduh DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-Raja Melayu malah dia juga menuduh DAP mempunyai agenda menubuhkan negara Republik.” ujar beliau.

Bagaimanapun, Muhyiddin terus membisu apabila dia dicabar membuktikan tuduhan terhadap DAP, malah jika tuduhan itu benar, mungkin sudah lama DAP diharamkan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perhimpunan Agung UMNO ke-66 masih di peringkat awal. Kita masih belum tahu siapa pemimpin UMNO yang akan menyerlah dan menjadikan DAP untuk melemparkan pelbagai tuduhan dan kecaman yang tidak berasas,

“Najib selalu mengatakan bahawa UMNO mesti berubah atau UMNO akan diubah.

“Adakah ucapan pemimpin dan perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan menggambarkan bahawa parti itu tidak boleh berubah atau UMNO yang perlu diubah oleh pengundi pada PRU-13 nanti” katanya.

Kit Siang berkata, sejak penubuhannya, terbukti DAP sebah parti yang konsisten dan tegas berjuang demi rakyat pelbagai kaum di Malaysia berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan. -Roketkini.com

No comments: