Wednesday, November 28, 2012

DAP sambut baik klarifikasi PAS

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: DAP menyambut baik kesediaan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS mengakui kesilapannya melaksanakan undang-undang berdasarkan prinsip Islam yang tidak memaksa ke atas orang bukan Islam.

Ketegasan sikap PAS itu adalah sangat ketara perbezaan berbanding UMNO yang degil dan enggan mengaku kesilapannya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini berkata, penjelasan PAS itu akan memperkuatkan lagi komitmen Pakatan Rakyat ke arah melaksanakan keadilan untuk semua.

“DAP menyambut baik kenyataan yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa undang-undang kecil yang dilaksanakan Majlid Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tidak bercadang untuk diperluaskan pelaksanaannya ke atas orang bukan Islam,” katanya.

Kenyataan itu dibuat berikutan kes saman pihak berkuasa tempatan ke atas pengusaha kedai gunting rambut di Kota Bharu terhadap tukang gunting yang melayan pelanggan berlainan jantina.

Menurut beliau, DAP mengalu-alukan kenyataan itu lantaran perkongsian pendapat antara pimpinan DAP dan PAS kebelakangan ini yang berakhir dengan semua mesyuarat tidak rasmi di Parlimen.

“Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP dalam mesyuaratnya semalam menganggap pengakuan PAS bahawa ia memandang serius keresahan orang bukan Islam dan pelaksanaan undang-undang berdasarkan prinsip Islam mesti tidak dipaksa ke atas orang bukan Islam sebagai langkah positif,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Guan Eng berkata, sikap itu berbeza dengan UMNO yang mahu melaksanakan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam, PAS mengambil langkah yang lebih bijaksana.

Katanya lagi, DAP berharap saman yang dikeluarkan ke atas tukang gunting rambut bukan Islam yang melayan pelanggan berlainan jantina itu dibatalkan segera dan pindaan yang sesuai dibuat kepada undang-undang berkenaan bagi mengecualikan orang bukan Islam.

Laporan berita hari ini memetik Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pihak kerajaan negeri terlepas pandang dengan tidak mengambil kira kesan undang-undang berdasarkan prinsip syariah ke atas orang bukan Islam di Kelantan. – Roketkini.com

No comments: