Sunday, November 25, 2012

Najib: 'Jadi pembangkang konstruktif, jangan burukkan kerajaan'

 SINAR HARIAN
Najib Tun Razak - Rosman Mansor
Najib Tun Razak (lapan, kanan) dan Rosmah Mansor (sembilan, kanan) yang juga Penaung Himpunan Wanita Muda Negara 2012 bersama 12 orang penerima Anugerah Kesatria Puteri
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan wanita muda Malaysia supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan membenarkan pembangkang menggagalkan segala usaha yang dilakukan kerajaan selama ini.
  
Beliau berkata, wanita muda tidak harus terpengaruh dengan dakyah politik parti pembangkang yang sering mempertikaikan kebolehan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.

Beliau berkata, pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang konstruktif tetapi sebaliknya mereka sentiasa mencari keburukan dalam projek yang dilaksanakan kerajaan sedangkan projek tersebut memberi peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Projek-projek seperti Projek Rapid di Pengerang, Johor dan penyenaraian Felda (Global Ventures Holdings Berhad) di Bursa Malaysia cuba digagalkan pembangkang atas dasar politik yang tidak ingin BN mencapai kejayaan dan menunjukkan kebolehan untuk mentadbir negara.

 "Segala apa yang dirancangkan akan tinggal di atas kertas dan akan terbantut kalau perancangan untuk lakukan transformasi digagalkan oleh pembangkang dan tidak mendapat sokongan politik daripada rakyat," katanya ketika menutup Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di sini hari ini.

Najib berkata, justeru, wanita muda di negara ini perlu memberikan sepenuh sokongan kepada kerajaan sekarang yang komited membantu mereka memenuhi inspirasi, dedikasi, ekspresi dan aspirasi mereka.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan BN memberi jaminan akan melakukan yang terbaik untuk masa depan yang lebih bersinar dan lebih baik dari hari ini.

Kalaulah wanita muda inginkan inspirasi, dedikasi, ekspresi dan aspirasi dipenuhi, maka sokonglah kerajaan yang ada hari ini, saya beri jaminan bahawa kita lakukan yang terbaik supaya wanita muda yang ada tidak akan rasa kecewa nanti," katanya.

Najib berkata menerusi agenda transformasi negara seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang telah berjaya mewujudkan lebih 313,000 peluang pekerjaan, menunjukkan bahawa kerajaan telah menepati aspirasi golongan muda yang inginkan pekerjaan.

"Mengikut salah satu kajian yang dilakukan di peringkat global, dalam banyak isu yang diberi keutamaan dan dianggap sangat penting oleh golongan muda ialah soal pekerjaan.

"Kalau kita berjaya sediakan peluang pekerjaan, maka kita dapat memenuhi jangkaan atau aspirasi golongan wanita muda dan lelaki muda kerana mereka mahukan masa depan yang penuh dengan jaminan serta mendapat taraf hidup yang jauh lebih baik dari hari ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menyekat peluang wanita untuk memajukan diri memandangkan ketekunan, dedikasi, kesungguhan, kesetiaan dan pencapaian wanita di negara ini amat memberangsangkan.

Beliau berkata, pencapaian wanita muda di dalam sektor pendidikan seperti kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak 25,000 adalah hampir dua kali ganda berbanding kaum lelaki yang hanya berjumlah 13,000 orang.

"Ini bererti bahawa kejayaan yang begitu memberangsangkan ini mungkin telah mengatasi kebanyakan negara lain termasuk negara maju sekali pun dan ini membawa kepada pengertian bahawa kita tidak pernah mengehadkan peluang wanita untuk maju ke depan," katanya.

Najib berkata, kecemerlangan wanita juga terbukti apabila 31 peratus daripada jawatan tertinggi dalam sektor awam kini disandang oleh golongan itu termasuk beberapa jawatan penting seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Saya percaya kejayaan ini dapat kita panjangkan dalam sektor swasta, sebab itu melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sedang melatih sekumpulan wanita yang ada potensi supaya dapat dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan 12 Anugerah Kesatria Puteri, antara penerimanya ialah penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (Anugerah Kesatria Puteri Kesenian), atlet terjun negara Pandelela Rinong (Anugerah Kesatria Puteri Sukan) dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) Norlina Alawi (Anugerah Kesatria Puteri Kemurnian).

Sementara itu, Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nusa Mahsuri di atas sumbangan sehingga ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai gerakan kemanusiaan dan kemasyarakatan. - Bernama

No comments: