Tuesday, October 9, 2012

Wacana: Peluang nilai Bajet Pusat-Bajet Alternatif PR

Wartawan Sinar Harian

Wacana Bajet 2013
Wacana Bajet 2013
 
SHAH ALAM - Wacana Sinar Harian Siri ke-14 malam esok akan membolehkan rakyat mengupas bajet dibentangkan oleh Kerajaan Pusat dan bajet alternatif oleh Pakatan Rakyat (PR), kata Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali.

Abdul Jali berkata, pihaknya yakin wacana kali ini akan bertindak sebagai ruang kepada rakyat khususnya pengikut dan penyokong kedua-dua BN dan PR memperoleh gambaran menyeluruh mengenai bajet kali ini.

Sehubungan itu, kata beliau, Sinar Harian membawa ahli panel yang dapat membicarakan topik kali ini dengan sebaik yang mungkin, untuk rakyat membuat perbandingan.

"Ahli panel terdiri daripada pemimpin parti politik yang  berwibawa, yang saya yakin mampu mengetengahkan hujah dengan bernas bagi membolehkan orang ramai memahami bajet dengan mendalam," kata beliau.

Sinar Harian diterbitkan oleh Kumpulan Media Karangkraf.

Katanya, Kumpulan Media Karangkraf mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mengikuti wacana di auditorium.

"Seperti biasa, kami mengharapkan kehadiran hadirin lebih awal untuk mendapatkan tempat di auditorium kerana tempat yang disediakan terhad," katanya lagi.

Wacana Sinar Harian kali ini akan mengupas topik berkaitan dengan Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu.

Beberapa hari sebelum Bajet 2013 Kerajaan Pusat, PR pula mengumumkan bajet alternatif mereka.

Pertemuan kali ini, yang akan berlangsung mulai jam 8.30 malam dan mengetengahkan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara; Ahli Parlimen Kota Belud dari Umno-BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Wacana kali ini akan dipengerusikan oleh Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ia akan berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Masuk adalah percuma dan mereka yang berminat boleh menghubungi Laila menerusi 019-3310211, Fazli (019-2808492) dan Rini (019-3371066) untuk keterangan lanjut.

No comments: