Tuesday, October 9, 2012

Pelajar Malaysia ditangkap di Yogyakarta miliki ganja

SINAR HARIAN

JAKARTA - Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di fakulti perubatan sebuah universiti di Yogyakarta ditahan Polis Indonesia pada Sabtu lalu kerana memiliki ganja seberat 6.8 gram.

Pelajar lelaki berusia 22 tahun itu ditangkap sepasukan Polis Cawangan Narkotik di Jalan  Kaliurang, Daerah Sleman, Yogyakarta, sejurus selesai transaksi pembelian dadah tersebut dengan harga Rp300,000 (kira-kira RM100).

Dimaklumkan pelajar itu memesan bahan tersebut melalui laman sembang Internet.

Penangkapan pelajar itu susulan maklumat awam dan polis yang membuat intipan menemui dadah tersebut padanya dalam bungkusan kertas surat khabar lama.

Polis Daerah Sleman sedang menyiasat lebih lanjut kes itu, termasuk bagi membongkar  jaringan pengedaran dadah dalam kalangan mahasiswa.

Jika sabit kesalahan, pelajar itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun di  bawah Fasal 111 dan 115 Undang undang Narkotik Republik Indonesia.

Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata pelajar berkenaan memegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Keluarga pelajar itu telah mengetahui mengenai kes berkenaan dan ibunya telah berada di Yogyakarta sejak hari Sabtu itu.

"Pihak EM Indonesia melalui bantuan Atase Konsular dan Imigresen serta Atase PDRM Kedutaan  Besar Malaysia di Jakarta telah memulakan proses bantuan supaya beliau mendapat pembelaan  dan keadilan sewajarnya," katanya di sini.

Dr Juzhar berkata pihaknya dengan bantuan pemimpin persatuan pelajar Malaysia juga memantau  kebajikan dan kesihatan pelajar itu semasa dia ditahan di Balai Polis Daerah Sleman.- Bernama

No comments: