Oleh Aspan Alias |
Jika kaum Cina telah menentukan sikapnya untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang bersih dan cekap dengan menolak terus parti yang mewakili mereka, MCA, orang Melayu juga sudah menampakkan sikap ingin berubah itu walaupun setengah dari mereka masih terkongkong dan dipenjara oleh partinya, UMNO.
Kaum Cina telah menunjukkan sikap serius inginkan perubahan dan ini adalah sikap yang amat bertanggungjawab.
Dalam perjumpaan saya dengan ramai rakan-rakan kenalan dari kaum ini, saya dapat merumuskan yang mereka sangat serius dan inginkan perubahan berlaku. Jika perubahan tidak berlaku mereka merasakan yang negara akan terjerumus kedalam lembah kehancuran yang tidak akan dapat diperbaiki dan akan memakan masa yang lama untuk memperbetulkannya.
Semasa negara mencapai kemerdekaan negara kita merupakan sebuah yang miskin tetapi dalam jangka masa yang agak cepat negara kita telah berubah menjadi sebuah negara yang sedang membangun. Untuk membangunkan negara ia memerlukan penyertaan dari rakyat yang menyeluruh dan kaum Cina yang telah begitu lama terlibat dalam perniagaan dan perindustrian memainkan peranan yang begitu jelas dalam penyertaan mereka membangunkan ekonomi negara.
Kaum Cina telah berniaga ratusan tahun sebelumnya dan mereka mudah untuk mendapatkan modal bagi apa-apa perniagaan mereka. Mereka terlibat dalam semua jenis perniagaan dan perdagangan sedangkan kita orang Melayu semasa mula mencapai kemerdekaan masih jauh tertinggal di belakang dan memerlukan dasar-dasar yang kuat untuk menuju ke tahap berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
DEB yang dipersetujui dan juga mendapat sokongan dari semua kaum dilancarkan kerana semua kaum termasuk kaum Cina memahami untuk mendapatkan sebuah negara yang aman kedudukan ekonomi di antara rakyat berbilang kaum itu perlu ‘equitable’. Bidang ekonomi adalah bidang yang sangat penting untuk kerajaan menyelaraskan dengan baik bagi mencapai matlamat yang satu, iaitu pencapaian ‘Perpaduan Nasional’ yang berkekalan.
Orang Melayu pula dibangunkan dan dididik untuk menyertai bidang ‘commerce and industry’ ini dan dibantu oleh kaum lain dengan jujur kerana mereka mahukan kaum Melayu menjadi maju kerana mereka memahami yang kestabilan negara akan hanya boleh dicapai jika kaum Melayu dan Bumiputra memperolehi peluang dan bersama-sama menikmati kekayaan negara secara ‘equitable’.
Orang-orang Melayu pula serius belajar untuk menjadi penggiat ‘commerce and industry’ ini dan telah menampakkan kejayaan yang pesat terutamanya semasa pimpinan Tun Razak dan Tun Hussein Onn kerana pimpinan Melayu begitu taksub dan jujur untuk menjayakan dasar yang telah lama digubal oleh pimpinan Melayu dan bukan Melayu semasa zaman itu. Masing-masing kaum bekerja keras untuk melihat kejayaannya sehingga pegangan ‘equity’ Bumiputralah melonjak ke tahap 18.2 peratus pada tahun 1984 dahulu dari pegangan kekayaan yang hanya 2.7 peratus semasa dasar itu mula dilaksanakan.
Di kementerian-kementerian serta jabatan kerajaan semasa itu wujud apa yang dinamakan ‘Unit Penyertaan Bumiputra’ yang memainkan peranan untuk memberi peluang untuk orang Melayu dan Bumiputra mendapatkan bantuan dan peluang menyertai bidang perniagaan dan perindustrian itu. Tetapi ‘unit penyertaan bumiputra’ ini telah dihapuskan kerana pimpinan selepas Tun Hussein tidak senang dengan kewujudan unit ini kerana ia menyusahkan kerajaan dan pimpinan selepas Tun Hussein untuk melakukan kehendak dan keinginan mereka untuk membina kronism.
Apabila kerajaan zaman Dr Mahathir tidak serius dan mengabaikan dasar yang masih jauh untuk mencapainya semasa itu, orang Melayu terbantut pembangunannya. Kalau tidak masakan Melayu hanya mendapat pencapaian sebanyak 19.6 peratus sahaja pegangan kekayaan negara selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi teraju negara. Dasar yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu yang ramai itu telah dikuasai oleh segelintiran Melayu dan menggunakan di atas nama Melayu dan kumpulan kronism ini telah menguasai segala-galanya dan usaha membangunkan orang Melayu melalui DEB itu telah terbantut.
Hanya beberapa kerat orang Melayu sahaja yang telah mendapat faedah dari pimpinan Mahathir dan mereka kebanyakannya adalah di kalangan mereka yang berada di ‘corridor of power’ sahaja. Mereka mengambil keuntungan yang terlalu besar melalui konsep penswastaan yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir dan rasuah mula bercambah melalui kontrak runding terus yang diperkenalkan oleh kerajaan BN semasa itu. Pimpinan juga mengambil kesempatan untuk menjadi orang-orang kaya yang berlebihan melalui dasar yang sepatutnya diraih oleh orang Melayu yang ramai.
Orang-orang Cina mula merasakan yang kerajaan tidak serius untuk membangunkan negara mengikut dasar teguh yag telah digubal itu. Mereka menjadi sasaran perasuah besar di kalangan pimpinan kerana mereka (kaum Cina) yang berniaga terpaksa membayar harga yang terlalu mahal kerana semua pihak terpaksa ‘dijaga’ kerana budaya rasuah sedang berkembang dengan pesatnya di kalangan pimpinan Melayu di bawah pentadbiran Dr Mahathir (sehingga sekarang).
Pendeknya orang-orang Melayu terbantut pembangunan mereka dan orang Cina terpaksa menahan sabar dengan keranah pentadbiran kita yang begitu terjerumus dengan rasuah dan salah guna kuasa yang mereka terpaksa menanggung kerugian besar kerana sikap rasuah pimpinan dan pentadbiran itu. Kaum Cina sedar yang orang Melayu sendiri tidak berpuas hati seperti mereka (pimpinan kerajaan) juga, tetapi perbezaannya orang Melayu dibuai dengan retorik UMNO untuk Melayu dan penjamin bagi masa depan mereka. Kepercayaan ini telah tertanam didalam sanubari dan pemikiran mereka. Media massa memainkan isu ini setiap masa untuk mengelakkan orang Melayu dari memindahkan sokongan mereka kepada pihak lain terutamanya kepada PAS.
Tindakan UMNO memainkan isu rasis untuk memecahkan perhubungan dan permuafakatan di antara PAS dan DAP itu akan memakan diri UMNO sendiri. Usaha untuk membenci bangsa Cina oleh UMNO itu menunjukkan yang pemimpin UMNO tidak menyedari yang pembangunan negara ini dimainkan oleh bangsa Cina sebegitu tinggi dan orang Cina tahu yang mereka merupakan penyumbang besar kepada perbendaharaan negara yang diselewengkan oleh pimpinan UMNO itu.
UMNO tidak lagi berkeyakinan untuk mendapat sokongan dan mandat dan sehingga sekarang ini masih tidak berkeyakinan untuk memanggil pilihanraya. Selain dari ketidakyakinan parti itu untuk mendapat sokongan, UMNO sedang berhadapan dengan tindakan mensabotaj parti yang pasti akan berlaku dan ini telah berlaku secara berluas-luasa dalam pilihanraya yang lalu.
Kita tahu apa ‘sequence of events’ dalam UMNO selepas ini. UMNO akan lebih berpecah lagi sebaik sahaja nama dan senarai calon diumumkan oleh UMNO dalam pilihanraya kali ini. Perasaan tidak berpuas hati terhadap calon yang bakal diumumkan nanti, akan menambah kekalutan dalam parti itu dan itulah yang akan membawa padah kepada sebuah parti yang ditadbir dan diurus oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau tidak tahu bagaimana untuk bertanggungjawab.
Perbalahan di antara sesama mereka dalam PRU ini nanti akan menjadi penyumbang utama kepada kekalahan UMNO dalam banyak kerusi di seluruh negara. Masing-masing merasakan yang masing-masing itu merupakan calon yang paling layak tanpa menyedari yang parti mereka itu bukanlah parti yang ‘winnable’ lagi.
Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memantau tindakan mensabotaj parti yang baru ditubuhkan itu tidak akan membawa parti itu kemana-mana. Sama-samalah kita saksikan nanti. - Http://aspanaliasnet.blogspot.com
No comments:
Post a Comment