Thursday, October 4, 2012

MPK sedia terima sampah kelung ikan

Harakahdaily,
SHAH ALAM: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari memaklumkan bahawa pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersedia untuk menerima sampah-sampah dari kelung sangkar ikan khususnya di sekitar perairan Pulau Ketam.

“Baru-baru ini saya mengadakan dialog dengan penternak-penternak ikan sangkar dan mereka gusar tentang permasalahan yang timbul berkaitan sampah-sarap yang mengalir dan berkumpul di sangkar-sangkar mereka.

"Saya telahpun menghubungi pihak MPK bagi mencari jalan penyelesaian dan hari ini pihak MPK telah bersetuju untuk membantu,” ujar Yaakob.

Oleh yang demikian, beliau menggesa semua penternak ikan sangkar untuk  berhubung terus dengan pihak MPK kerana mereka telah menyatakan komitmen bagi memberi jalan penyelesaian kepada masalah terbabit.

Sampah-sarap tersebut terdiri dari ranting kayu dan plastik yang dibuang oleh penduduk Pulau Ketam seterusnya mengalir ke sangkar-sangkar penternak tersebut.

Difahamkan, sebanyak 11,095 kelung sangkar yang sedang beroperasi di Klang ketika ini.

Sementara itu, Dr Yaakob turut mengingatkan para penduduk dan penternak supaya menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

“Penternak mestilah membersihkan sampah-sampah tersebut untuk terus dihantar ke darat dan bukannya menghantar sampah tersebut ke Pulau Ketam. Pihak MPK dah beri jaminan untuk mengutip sampah yang telah dihantar ke darat,” kata Yaakob merangkap Exco Pertanian Negeri Selangor.

Terbaru, isu sampah-sarap ini telah dibangkitkan dalam sesi dialog “World Cafe-Open Space Technology” bersama pengusaha ternakan ikan sangkar daerah Klang di Pulau Ketam baru-baru ini.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Zakaria Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah(Tanah) Klang, Abdul Rahman Joho dan Ahli Majlis MPK, Song Sung Hwan.

No comments: