Oleh : MUTALIB M.D |
|
KAJISELIDIK
yang dijalankan Merdeka Center terhadap pelbagai isu di Sabah; termasuk
penurunan populariti Ketua Menteri dan kegelinciran pengaruh Kerajaan
BN Sabah mungkin merupakan kajian umum yang boleh diterima pakai secara
am berdasarkan beberapa hipotesis dan metodologi; jika didasari dengan
motif yang jelas dan niat yang terbuka; namun lebih tepat
diklasifikasikan sebagai 'Belut Di Dalam Lumpur.'
Agak aneh kenapa pemimpin UMNO Sabah begitu berminat mengulas kajian Merdeka Center yang merupakan 'Cerita Dalam Berita'; sedangkan
mereka tahu keadaan sebenar di Sabah, sebaliknya memilih memberi
kenyataan peribadi yang beragenda dan bukannya kenyataan hasil pandangan
rakyat Sabah secara kolektif.
Sebagai
pemerhati politik Sabah sejak 1983 dan telah melalui empat pemerintahan
(Perikatan-USNO, Berjaya, Parti Bersatu Sabah, BN-UMNO) yang pernah
merasai asam garam dan pahit maung di bawah era pemerintahan Tun
Mustapha, Datuk Harris Salleh, Datuk Pairin Kitingan; termasuk Ketua
Menteri Merry Go Round iaitu Tun Sakaran Dandai, Datuk Salleh Tun Said,
Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Osu Sukam, Tan Sri
Chong Kah dan Datuk Musa Aman; kaji selidik ini mencerminkan gelora politik mula membadai dan riaknya bergelombang dari dalam.
Setelah bertugas selama lebih 10 tahun dalam pengauditan projek dan akauntabiliti Kerajaan Negeri Sabah, sejak di era pemerintahan Kerajaan Berjaya sehinggalah di zaman PBS, metodologi
kajian yang dijalankan Merdeka Center lebih bermotif politik sehingga
menyerlah belang sebenar mereka yang selama ini ditohmah sebagai agen
Amerika dan menerima dana daripada Yahudi melalui beberapa NGO di
Amerika.
Sebagai
bekas kakitangan awam persekutuan (Jabatan Audit Negara) yang
bergelumang dengan pengauditan akaun Kerajaan Negeri dan Persekutuan di
Sabah; saya tidak mempertikaian hipotesis yang dibuat oleh Merdeka
Center, tetapi kerana mereka tergopoh gapah mendedahkan kajian, atas
motif tersirat, sehingga tidak peka dengan senario yang melatari
politik, budaya dan ekonomi Sabah; maka kajian ini nampaknya beragenda
dan bermotifkan imperialisme.
Sebahagian
besar rakyat Malaysia telah mengakui bahawa Merdeka Center adalah Badan
yang menerima biaya asing untuk melancarkan Dasar Imperialis Amerika
bagi menguasai ekonomi, geo-politik dan melumpuhkan pertahanan negara
yang kaya dengan sumber bahan mentah; bermula dari Asia Barat
sehinggalah ke Balkan dan Asia Tenggara.
Dengan
kemunduran sistem perhubungan, logistik dan komunikasi yang melanda
Sabah buat masa ini, kajian yang dijalankan oleh mana-mana badan; sama
ada secara rambang atau analisis akan dibatasi oleh faktor masa, kos,
ketepatan; apatah lagi responden terpilih menyebabkan hasil kajian
menjadi pincang, diragui dan dipertikaikan.
Saya
tidak peduli sama ada Datuk Seri Panglima Musa Aman akan terus kekal
sebagai Ketua Menteri atau terpaksa berundur kerana kegelinciran
pengaruh; sebagaimana yang dinyatakan hasil dapatan kajian Merdeka
Center kerana saya tidak mempunyai sebarang kepentingan atau permusuhan
dengan Musa Aman.
Malah
sejarah Sabah membuktikan Berjaya yang berada di puncak kuasa boleh
tumbang oleh kebangkitan kuasa rakyat dan PBS yang mendapat sokongan
padu rakyat Sabah boleh hilang kuasa akibat pengkhianatan pemimpin
pengasas seperti Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Rubin Balang.
Lalu
apa relevannya dengan kemerosotan pengaruh Musa Aman ketika ekonomi
Sabah mula bangkit mendahului Malaysia, tetapi hanya kelihatan mundur
kerana dilatari hutan rimba, laut dan paya bakau yang maha luas
berbanding Perlis dan Selangor?
Kenapa
Merdeka Center tidak sebut siapa daripada 13 Ketua Menteri Sabah yang
berjaya membawa Sabah keluar daripada kepapaan sehingga mempunyai rizab
yang begitu besar, tidak termasuk agensi kerajaan negeri, badan berkanun
dan GLC?
Persoalannya,
sebagai pengundi yang masih waras, rakyat Malaysia yang celik huruf dan
tidak rabun IT; malah kajian yang saya lakukan selama ini, termasuk
sebagai bahan asas menulis beberapa buku saya yang hampir kesemuanya
sudah habis dijual; atau kajian ilmiah yang dijalankan Sabahkini.net;
tidak langsung menampakkan kelogikan dan kesahihan fakta kajian Merdeka
Center.
Sebagai
Mantan Pegawai Audit yang telah melalui pengalaman dan mempunyai
pengetahuan yang mendalam berhubung akaun Kerajaan Negeri Sabah dan
kecapaian kesemua 13 Ketua Menteri Sabah, tidak ada seorang rakyat Sabah
yang masih waras boleh menuding jari kepada Ketua Menteri Ke-13 iaitu
Musa Aman sebagai penyebab Sabah Negeri Termundur di Malaysia?
Tidak
ada sebab kenapa saya harus membodek Musa Aman kerana saya tidak
mempunyai sebarang kepentingan; malah melanggar prinsip saya, 'No Mercy,
No Retreat, No Surrender'.
Dalam
keadaan begitupun, masih ada yang sanggup menuduh saya sebagai
'penerima sumbangan' terbesar daripada Musa Aman, tokoh yang dikenali
rakan dan taulan sebagai 'Haji Bakhil' dalam Filem P.Ramlee; semata-mata
kerana mereka menuduh saya menggunakan Sabahkini.net untuk 'menyerang'
seteru Musa Aman, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Saya
tidak mempunyai alasan untuk menyokong rakan lama saya, Shafie Apdal
kerana pendedahan demi pendedahan yang dibuat Sabahkini.net berhubung
Shafie dan kementeriannya, bukanlah cerita dongeng atau tohmahan; malah
disertakan dengan bukti dan bahan yang telah diserahkan kepada pihak
berkuasa seperti SPRM dan Polis.
Tetapi
saya tidak mempunyai sebab untuk menentang Musa Aman terhadap
Transformasi Ekonomi yang beliau pacu sejak menjadi Ketua Menteri Sabah
dan membentuk Kabinet April Foolnya pada 1 April 2003 kerana RAM Rating
Malaysia telah memberi pengiktirafan rating tertinggi iaitu AAA sejak
tiga tahun lalu; kedudukan yang belum pernah dicapai oleh 12 Ketua
Menteri sebelumnya.
RAM
Rating bukannya Merdeka Center atau Suaram yang menjalankan kajian
mengikut telunjuk asing untuk melampiaskan Dasar Imperialisme; tetapi
Badan Rating yang mendapat pengiktirafan Seantero Dunia.
Sekalipun
Bank Dunia membuat kesilapan yang sama dengan Merdeka Center kerana
memberi markah sebagai salah sebuah 'Negeri Yang Termundur Di Malaysia';
hanya disebabkan Wakil Bank Dunia melawat Pitas dan Pensiangan; namun
kesilapan Bank Dunia ini telah diperbetulkan oleh Ketua Audit Negara
yang memberikan 'SIJIL BERSIH' kepada akaun Kerajaan Negeri Sabah.
Sebagai
individu yang menjalankan kajian dasar dan penuh teliti berhubung isu
pendatang asing; apatah lagi kesemua buku saya; IC Palsu Merampas Hak
Anak Sabah, Pengundi Untuk Di Sewa, IC Projek Agenda Tersembunyi
Mahathir (?) dan 007 Lelaki Malaysia Terakhir, belum pernah dicabar oleh
mana-mana pihak.
Malah
buku saya, IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah telah diterima sebagai
bahan bukti di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam ke Petisyen
Pilihanraya Likas pada 1999; manakala buku IC Projek Agenda Tersembunyi
Mahathir (?), buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah dan Pengundi Untuk
Disewa telah dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai
Integriti, juga tidak pernah dicabar.
Sebelum
Merdeka Center menjalankan kajian berhubung isu RCI, saya dan
Sabahkini.net telah bergelumang terlalu lama dalam isu ini yang lebih
berpihak kepada kegagalan Dasar Dalaman Politik Malaysia yang tidak
meletakkan soal keselamatan rakyat Sabah sebagai prioriti dalam segala
tindakan; bukannya salah Musa Aman yang mewarisi 'Ibu Segala Masalah'
ini.
Sekalipun
salah seorang Mantan Tahanan ISA berhubung IC Projek, Haji Jabarkhan
Napi @ Yasser Arafat telah mendedahkan bahawa Musa Aman dan Yahya Hussin
pernah terlibat sebagai Pengerusi dan Setiausaha Task Force UMNO ketika
operasi 'Ops Gembleng; dilaksanakan sekitar 1991-1994; namun tidak ada
bukti bertulis atau alibi yang melampau keraguan munasabah yang dapat
ditunjukkan.
Penglibatan
Musa dan Yahya secara Ad-Hoc dalam 'Ops Gembleng' yang telah dihuraikan
secara jelas dalam buku saya IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir (?)
dan '007-Lelaki Malaysia Terakhir'; hanyalah berdasarkan 'Hearsay' dan
pengakuan bersumpah Jabar Khan; tanpa disokong oleh bukti prima.
Jika
maklumat berkenaan tidak tepat, maka Pengakuan Bersumpah yang dibuat
Jabar Khan melalui Surat Akuan Berkanun; membuktikan beliau telah
berbohong dan saya tidak boleh memaksa Musa Aman atau Yahya Hussin
membuat pengakuan atau penafian dakwaan Jabar; sekalipun mereka terlibat
secara langsung ketika itu.
Kajian
Merdeka Center berhubung RCI tidak perlu disebutkan kerana rakyat Sabah
sudah mula mendesak RCI dilaksanakan sejak 1976 lagi iaitu Kerajaan
Negeri Sabah yang didalangi Kuala Lumpur menerima kemasukan 'Warga
Penyu' yang kononnya 'Pelarian Perang' dari Filipina dan 15,000 bangsa
China dari Indonesia; sedangkan Malaysia tidak pernah menandatangani
perjanjian dengan UNCHR untuk menerima pelarian perang.
Bukankah
lebih bertanggung jawab dan bermaruah jika Merdeka Center menjalankan
kajian ilmiah ke mana menghilangnya 50,000 warga China (termasuk China
Doll) dan 30,000 warga India yang memasuki Malaysia secara sah sejak
sepuluh tahun lalu, kemudian menghilang tanpa 'jejak' sehingga ke hari
ini? Semua fakta ini bukan ciptaan saya, sebaliknya telah dibangkitkan
di parlimen dan dicatatkan di dalam Hansard.
Sama
ada isu RCI mendominasi politik Sabah dewasa ini sebagaimana kajian
yang dijalankan Merdeka Center tidak timbul kerana telah berkumandang
setiap hari, malah setiap saat detik nadi Anak Jati Sabah sentiasa
berdebar mengenangkan nyawa mereka terancam bagaikan anak ayam dijaga
helang!
Pemaksaan, penderaan, pembulian dan penindasan yang dijalankan Kerajaan Persekutuan sebelum era
Kerajaan 1Malaysia yang diterajui Najib begitu menyiksakan rakyat Sabah
telah diadun dengan baik oleh parti Politik Sabah sebagai modal untuk
'mendapat kuasa' dan cuba mengekalkan kuasa dengan menghidupkan isu PATI
yang menghantui Sabah sejak lebih tiga dekad lalu.
Pemimpin
Sabah yang menjadi 'Baluci' dan 'Algojo' pemimpin Persekutuan, terutama
setelah mereka berjaya memperdaya Tun Mustapha untuk mencabut akar
tunjang parti politik terunggul di Sabah, USNO dan menanam pengaruh UMNO
di Sabah; mungkin mati kering jika tidak menggunakan isu PATI dan RCI.
Sewajarnya,
Merdeka Center menggunakan dana yang disumbangkan negara Asing sama ada
secara terus atau melalui NGO untuk menjalankan kajian bagaimana Sabah
boleh mencapai kedudukan ekonomi yang paling baik di Malaysia
sebagaimana yang dibuktikan melalui pengiktirafan RAM Rating dan Jabatan
Audit Negara; walhal dalam masa yang sama Bank Dunia telah mengeluarkan
kenyataan songsang bahawa Sabah Negeri Termiskin di Malaysia?
Apa
ada pada nama? Anugerah Negeri Termiskin di Malaysia atau Negeri yang
paling ramai PATI di Malaysia tidak akan mengubah rekod Sabah sebagai
negeri yang terkaya di Malaysia yang mempunyai rizab lebih daripada RM10
billion. Siapa dapat menyangkal Anugerah Termiskin yang diterima Sabah
disumbangkan oleh kebanjiran PATI?
Ada
yang mengatakan jika Sabah kaya kenapa negeri mundur? Persoalannya
kenapa Sabah harus menggunakan wang sendiri dan mengambil alih tugas
Kerajaan Persekutuan membangunkan Sabah? Sedangkan isu royalti Petroleum
belum selesai kerana nisbah pembahagian yang tidak adil, apatah lagi
mahu menggunakan wang rizab dan tabung dana Kerajaan Negeri untuk
menaiktaraf prasarana Sabah yang serba mundur?
Lazimnya,
tidak ada anak terbaik di dunia yang sanggup mengeluarkan wang sendiri
membiayai bapanya berfoya-foya di luar membiarkan ibunya menderita,
apatah lagi bapa yang tidak pernah jujur dan setia seperti Kerajaan
Persekutuan?
Sehingga
kini tidak ada Juruaudit di dunia yang dapat mempertikaikan 'Sijil
Bersih' yang diberikan Jabatan Audit Negara kepada Sabah, yang tidak
perlu menyertai 'Perhimpunan Bersih' untuk mendapat 'Sijil Bersih'.
Belum
pernah terjadi dalam sejarah Sabah, malah di Malaysia, bahawa semua
agensi Kerajaan Negeri Sabah yang sebelum ini hampir gulung tikar kerana
kerugian besar; bukan sahaja telah mencatatkan untung, malah mampu
menyumbangkan dividen kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Jangan
tanya saya, tetapi dapatkan maklumat daripada Jabatan Audit Negara dan
RAM Rating; terutama kejayaan Kerajaan Negeri Sabah membayar segala
hutang piutangnya secara tepat masa; malah sebaliknya Kerajaan
Persekutuan yang lebih banyak berhutang kerana tidak semua 'Janji
Ditepati'.
Persoalannya
kenapa Sabah masih mundur dan dilabelkan sebagai miskin setelah
berbilion dilaburkan? Tanya Shafie Apdal kerana beliau Menteri yang
dipertanggung jawabkan menjaga NKRA pembangunan luar bandar; tetapi
beliau gagal memastikan ketirisan ekonomi ditampal setelah dibocori
Projek Top-Up yang mendominasi KKLW sejak 2008!
|
No comments:
Post a Comment