Monday, October 22, 2012

MCA luluskan 16 resolusi

KL TODAY

 

Perhimpunan Agung MCA ke-59 meluluskan 16 resolusi yang antara lain menyokong sepenuhnya pelaksanaan skim gaji minimum RM900 dan lanjutan umur persaraan demi meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan.Resolusi yang meliputi lima aspek iaitu hal ehwal parti, ekonomi, pendidikan, politik dan masyarakat itu diumum Speaker Datuk Yik Phooi Hong selepas penggulungan perbahasan, di Wisma MCA pada Ahad.

Pada aspek hal ehwal parti, MCA menyokong sepenuhnya program mesra rakyat yang dijalankan oleh parti untuk memanfaatkan anggota parti dan rakyat.

Selain itu, MCA menyeru anggota akar umbi mempergiatkan kempen dan memantapkan perpaduan parti bagi menjamin kemenangan MCA dan Barisan Nasional, serta menegaskan pendirian untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika parti gagal mencapai keputusan yang lebih baik pada pilihan raya umum ke-13.

Pada aspek politik, MCA mengecam pakatan pembangkang kerana menyemai budaya politik kebencian yang menggugat perpaduan negara demi kepentingan politik mereka sendiri, dan mengelirukan masyarakat Cina mengenai hukum hudud PAS.

Resolusi ekonomi antaranya menyokong dasar liberalisasi kerajaan untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, serta langkah peralihan subsidi pukal kepada subsidi bersasar dalan Belanjawan 2013.

Dalam pendidikan, parti itu mengalu-alukan langkah menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman kepada status kolej universiti serta mengekalkan geran sepadan supaya pendidikan tinggi berkualiti dengan yuran rendah dapat diteruskan.

Kursus-kursus vokasional dalam bahasa ibunda dapat disediakan agar lebih ramai belia menyertai latihan vokasional, menyokong penubuhan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan serta menggesa supaya kelas peralihan di sekolah menengah dikekalkan dan mengekalkan kurikulum bahasa Malaysia yang sedia ada di sekolah vernakular.

Selain itu, MCA menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan dasar pendidikan berteraskan pelbagai bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan belia demi menghadapi cabaran globalisasi.
Pada aspek masyarakat, parti itu menyokong agenda antijenayah kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih selamat serta usaha berterusan kerajaan untuk menambah perwakilan wanita pada peringkat pembuat keputusan di semua sektor.

Persidangan dua hari yang berlangsung sejak semalam itu dihadiri 1,698 perwakilan dari seluruh negara dan mencatat kehadiran 72.53 peratus.

No comments: