Oleh Zikri Rahman
Saban tahun, ketika melewati laporan akhbar, kita pasti dilambakkan dengan lonjakan angka mahasiswa yang dikeluarkan ataupun berjaya memasuki universiti, awam mahupun persendirian yang terdapat dalam negara kita. Secara dasarnya ini sesuatu yang bagus, hinggalah kita dengan kadar segera kembali perlu untuk memperhalusi peranan mahasiswa serta fungsi budaya intelektualisme di dalam universiti, yang secara langsung atau tidak langsung perlu untuk kembali menguatkan budaya intelektualisme di negara ini.
Menelusuri kembali budaya intelektualisme di negara ini, memberi ruang kepada mahasiswa untuk memahami peranan dalam mencatur langkah, mencanting corak kepada perlunya satu kesedaran intelektualisme untuk segera sampai ke destinasinya. Masyarakat kita sendiri dalam memenuhi ruang vakum antara mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhannya dalam menggabungkan ilmu serta teori kepada panduan untuk melakukan implementasi langkah-langkah bermanfaat kepada pembangunan masyarakat keseluruhannya .
Siapa intelektual
Kata-kata sasterawan agung negara, Usman Awang, dalam ucapannya yang bertajuk “Peranan Intelektual” kepada pelajar-pelajar Malaya dan Singapura di Malaysian Hall, anjuran London Union of Malaysian Student tanggal 25 Mei 1970; amat begitu relevan dalam mendefinisikan intelektualisme pada hari ini iaitu,
· Pertama, orang yang punya ilmu pengetahuan dan otak (fikiran) yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu yang dari zaman ke zaman semakin bertambah kaya. Jadi ilmunya itu tidak basi dan beku;
· Kedua, orang yang sentiasa berfikir (pemikir) dan menyumbangkan dan mengembangkan idenya;
· Ketiga, orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisa, merumuskan segala fikiran dalam kehiduan manusia, terutama masyaraktnya dan alamnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu;
· Dan akhir sekali, orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuang kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani memperjuangkan kebebasan, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan dan kebebasan untuk rakyat.
Memperdalami keseluruhan asas yang didefinisikan oleh Usman Awang ini, jika diperlaku serta diangkat menjadi implementasi disiplin di dalam universiti, pasti akan memberi makna baru dalam merencana kembali hubungan mahasiswa dengan masyarakat, sekaligus mendekatkan diri mahasiswa dengan sifat alamiah sesebuah masyarakat (contohnya, penindasan ekonomi serta kemiskinan yang dialami oleh masyarakat peneroka bandar di Malaysia) dan bukan lagi hanya terhad sekadar kepada rujukan di dalam tesis, sebaliknya cuba untuk memahami serta melihat kesinambungan ilmu teori serta praktik dalam memahami fungsi mahasiswa mencorakkan alir masyarakat.
Intelektualisme memecah dogma
Penulis memperakui, peranan budaya intelektualisme mahasiswa amat perlu dalam merencana teori serta idea baru, bagi mendobrak segala dogma serta korupsi ide di dalam implementasi apa-apa polisi yang berkaitan dengan masyarakat yang seakan sudahpun membina sawang di dalam kehidupan harian mahasiswa kini yang tidak berasa bahawa mereka ini bukan lagi sebahagian dari masyarakat.
Walhal, mereka juga begitu terkesan dengan segala polisi serta langkah yang dijalankan dari segi ekonomi, contohnya kenaikan harga petrol mengakibatkan berlaku reaksi berantai pada harga barangan harian.
Untuk menyemai kembali budaya intelektualisme mahasiswa, kuncinya terletak pada kemampuan mahasiswa untuk menghadam dan mencabar ilmu. Bagi penulis, fungsi utama ilmu ialah untuk dicabar, demi mengelakkan berlaku kebekuan dan kejumudan khususnya dalam menjalin hubungan terus antara ilmu dan praktik, kepada sasaran implementasi, iaitu masyarakat. Yang pasti, rangka besar untuk memahami serta menghadam ilmu, tidak lagi terhad dalam lingkungan dewan syarahan, mendengar hanya akan idea lama dilontar-lontar yang kadang berlaku hanya dengan satu arah, sebaliknya pergi kepada punca ilmu iaitu masyarakat itu sendiri dengan memenuhi masa muda dengan majlis ilmu yang terdapat dalam pelbagai bentuk medium.
Ini adalah kerana, punca ilmu, adalah berasaskan kepada kemampuan manusia dalam merungkai permasalahan, dan di dalam permasalahan, tersirat satu hikmah yang besar bagi mereka yang berani mencari kebenaran. Kebenaran yang cuba disampaikan penulis ialah kesedaran yang perlu kita capai melalui pemahaman terhadap fungsi ilmu itu sendiri dalam merencana kebudayaaan intelektualisme tanpa mengira jurusan apa yang anda ambil. Contohnya jika kamu seorang belajar senibina, binalah yang bermanfaat untuk masyarakat dan bukan memenuhi ego penguasa, dan jika kamu seorang belajar fotografi, ambil lah gambar yang memberi erti benar kepada masyarakat, dan begitulah seterusnya untuk semua disiplin ilmu.
Kita harus menilai kembali kebenaran, dalam mencari makna menjadi mahasiswa dalam mengembalikan semula budaya intelektualisme yang tidak lagi hanya terhad kepada ruang skop universiti dan segulung ijazah, sebaliknya terletak kepada kemampuan kita. Kita semua yang bergelar mahasiswa , dalam meletakkan ilmu pada prinsip serta pendirian yang dipacu oleh ide-ide segar berpaksikan kepada ketetapan fungsi ilmu, bagi menetapkan diri mahasiswa masing masing di pihak mana yang mereka sanggup untuk berjuang, di tempat yang ditindas atau menindas, dalam perjalanan mencari ilmu mengembalikan budaya ilmu yang semakin terhakis dek kerana hanya sekadar belajar untuk segulung ijazah, dan bukan untuk ketetapan prinsip humanis yang dituntut jiwa akhirnya pada masyrakat.
Apa yang lebih penting?
Sungguh, mendapat segulung ijazah itu sesuatu yang penting, tetapi bagi penulis, pada kesempatan yang ada bergelar mahasiswa, budaya intelektualisme itu sesuatu yang perlu dipegang oleh kita, bagi mengelakkan terasingnya mahasiswa dari lipatan masyarakat yang amat memerlukan kita dalam merencana serta membawa ombak ilmu menghempas pantai dogma yang sudah sekian lama menjadi barah kepada mandulnya fikrah fikiran dalam menjalin kembali kemas tautan masyarakat dan mahasiswa. Kerana di dalam usaha ini, tiada jalan tengah selain berpihak kepada masyarakat dan akarnya pada budaya intelektualisme, iaitu partisipasi di dalam pelbagai cara yang ada.
Gersangnya idea fikiran mahasiswa pada hari ini, bakal mencorak satu kecelakaan kepada negara ini, menjadikan idea dan teori yang didamba masyarakat pupus, hanya kerana tiada ketetapan serta prinsip yang benar benar kukuh dalam kehidupan mahasiswa kerana yakinlah, mahasiswa, orang yang belajar, di mana mana bisa mempelopori perjuangan, dan yang terbaik ialah dengan bersama masyarakat membina budaya ilmu yang perlu lahir pada cetusan pergolakan rakyat tertindas, yang kecil atau besar, dengan titik fokus semata mata hanya berpandu pada kebaikan masyarakat sejagat, tanpa perlu meninggalkan prinsip ilmu di dalam diri kita hanya kerana patuh tiada berlawan fakta dan hujah ilmu.
Tuntas bertulis, budaya intelektualisme ini sesuatu yang pasti, tapi dalam corak yang bagaimana dan apa yang akan dipelopor mahasiswa ini, yang akhirnya akan membentuk budi pada pertiwi, dengan akurnya kita semua, mahasiswa pada ketentuan alunan masyarakat yang terbentuk hasil budaya yang akan kita terajui, tanpa mengira cara apa sekalipun, dan pasti pertentangan-pertentangan itu pasti akan berlaku, di antara tahyul dogma dan idea progresif, yang akhirnya pemegang kata dan laku dalam menempuh ranjau dan duri perjuanagan bersama masyrakat dan mahasiswa ialah kita sendiri. Iaitu mahasiswa. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment