SHAH ALAM: Dakwaan terbaru Ketua Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin terhadap Menteri Besar Selangor merupakan cubaan untuk mengalihkan tumpuan terhadap kes pecah amanah yang membabitkan diri beliau sendiri.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata kes tersebut berlaku ketika Hamidzun menjadi peguam panel Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada suatu ketika dahulu.
Faekah berkata fitnah terbaru beliau bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos sewa beli bas yang digunakan pemimpin parti untuk berkempen ke seluruh negara tidak benar sama sekali.
Abdul Khalid juga dari awal lagi dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor pada bulan Ogos, mengumumkan bahawa kos bas dua tingkat yang digunakan pemimpin Pakatan Rakyat untuk berkempen di seluruh negara itu ditanggungnya sendiri dan tidak melibatkan dana Kerajaan Negeri.
“Ini membuktikan bahawa sejak dari awal lagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menyembunyikan perkara ini malah mengambil sikap terbuka dan telus.
“Jika Hamidzun meragui perkara ini, beliau sepatutnya memberikan bukti kukuh bukannya membuat tuduhan sewenang-wenangnya,” menurut Faekah di dalam satu kenyataan media.
Menurut Faekah lagi, Abdul Khalid juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Hamidzun berterusan menjaja fitnah di media tanpa memberikan sebarang bukti.
Dakwaan Hamidzun telah dilaporkan di dalam sebuah akhbar dan beberapa laman web berita.
“Malah, pihak media juga sepatutnya berasa bimbang dan berfikir banyak kali sebelum menyiarkan dakwaan Hamidzun jika dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti-bukti.
“Tan Sri Abdul Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini pernah dilemparkan pelbagai tuduhan tetapi selepas disiasat pihak berkuasa, ternyata ia tidak benar.
“Malah, seorang individu pernah diarah membuat kenyataan mohon maaf di media kerana membuat fitnah. Kejadian ini diharap boleh menjadi pengajaran kepada Hamidzun,” menurutnya lagi.
Faekah turut menganggap penubuhan GAPS semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid.
Ianya dibuktikan apabila GAPS hanya mendiamkan diri berhubung isu kolam udang dan pemilikan tanah di Tanjung Karang oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar dan isu sumbangan RM 40 juta kepada Umno Sabah yang merupakan antara isu hangat di media hari ini.
No comments:
Post a Comment