Thursday, October 25, 2012

Ibu rayu penderma mata pulih penglihatan anak

SINAR HARIAN

ALOR SETAR - Seorang ibu merayu untuk mendapatkan penderma mata buat anaknya yang buta mata kanan selepas terkena serpihan mesin pemotong jubin pada 1 Mei lepas.
  
Azlina Mohd Yusoff, 40, merayu kepada masyarakat yang prihatin untuk mendapatkan penderma organ mata kepada anaknya, Mohamad Amirul Hakimi Othman, 9, bagi mengembalikan semula penglihatan anaknya.
  
"Amirul seorang anak yang bijak. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru, jadi besar harapan kami sekeluarga jika ada pihak yang sudi mendermakan mata kepadanya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Luar dekat sini hari ini.
  
Mengimbas kembali kejadian itu, dia berkata pada hari kejadian, anaknya berada di rumah jiran bersama beberapa rakan yang sedang menggunakan mesin pemotong jubin untuk memotong besi basikal.
  
"Kebetulan semasa Amirul lalu di situ, mata mesin canai (pemotong) itu pecah dan terkena pada hidung dan mata dia menyebabkan darah keluar tanpa henti. Kami terus membawa Amirul ke Hospital Sultanah Bahiyah dan doktor memberitahu bahawa mata kanan Amirul tidak boleh diselamatkan," katanya yang mempunyai enam anak.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang datang melawat Mohamad Amirul Hakimi berkata pihaknya akan menanggung kos pembedahan mata pelajar itu.
  
"Kita akan berbincang dengan pihak hospital dan akan cuba segerakan pembedahan mata itu bagi menggantikan mata yang rosak dengan mata kaca," katanya.
  
Pada lawatan itu, Ahmad Bashah turut menghulurkan bantuan berupa keperluan harian dan wang tunai.
  
Sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan boleh menghubungi bapa pelajar itu, Othman Salleh, di talian 017-5471670 atau terus melalui akaun Maybank atas nama Othman Salleh 152170132326.  - Bernama

No comments: