SINAR HARIAN
KANGAR - Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai
membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin bagi
membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata,
pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan pukul 9.47
malam semalam.
Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan
dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat
selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.
Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki
pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke
hospital itu pada 9.20 malam kelmarin disebabkan komplikasi bersalin.
Hasil siasatan, gadis itu mengakui melahirkan bayi perempuan yang kemudian dibuang ke dalam tali air tersebut.
Susulan penemuan mayat bayi itu, polis menahan empat individu termasuk teman lelaki dan abang gadis berkenaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment