Friday, October 5, 2012

DAP cabar Najib selesaikan kes pemimpin BN korup sebelum berhasrat banteras rasuah


Lim Guan Eng mencabar pemimpin BN menyelesaikan kes-kes korup sebelum berhasrat membanteras rasuah.
KUALA LUMPUR-Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar kes-kes rasuah melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang korup terlebih dahulu sebelum berhasrat untuk membanteras rasuah.

Cabaran itu dilontar oleh Guan Eng bagi membidas ucapan perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak semasa upacara pembukaan Persidangan Persatuan Pencegah Rasuah Antarabangsa.

Dalam ucapan tersebut, PM menyeru pemimpin dari semua lapisan masyarakat menonjolkan nilai-nilai yang betul dan kelakuan beretika agar membantu dalam usaha membanteras rasuah.

“Adakah pemimpin BN mampu mengisytihar harta secara terbuka, mampu melaksanakan tender terbuka, mampu mengelak keluarga daripada urusan perniagaaan dengan kerajaan dan beranikah Najib menggugurkan pemimpin BN yang mempunyai gaya hidup mewah?,” kata Guan Eng dalam kenyataan kepada media.

Menurut Guan Eng lagi, penurunan Malaysia dalam tangga Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International daripada nombor 37 pada tahun 2003 kepada nombor 60 pada tahun 2012 adalah bukti kukuh kegagalan kerajaan BN untuk membanteras rasuah.

Turut disentuh oleh Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut ialah melibatkan perkahwinan “Malaysian Book Of Record” anak lelaki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hingga menyebabkan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memulakan siasatan hari ini.

“Sekali lagi, Najib telah gagal buktikan diri dalam usaha membanteras rasuah sehingga Ketua Menteri Melaka sendiri boleh dengan bangganya menganjurkan kenduri kahwin anaknya untuk seramai 130,000 orang. Tidak kisahlah siapa yang bayar atau berapa jumlah harga kenduri tersebut,” tambah Guan Eng.

Malahan pemimpin DAP tersebut juga mempersoalkan sikap Najib yang seolah-olah berdiam diri terhadap isu  kekayaan luarbiasa keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud yang didakwa bernilai berbilion-bilion ringgit.

“Betapa besarnya kekayaan keluarga Taib ini telah dibuktikan dalam kes perceraian anaknya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, di mana bekas isterinya telah mendedahkan bahawa beliau mempunyai kekayaan bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion, dengan akaun-akaun peribadi di serata dunia.”

Tegas Guan Eng lagi, Najib sebagai seorang pemimpin negara perlu segera mengambil langkah yang tegas tanpa memilih bulu serta komited dalam usaha membanteras rasuah dan bukannya sekadar bercakap kosong tetapi tidak melakukan sesuatu.

“Sekiranya Najib ingin meyakinkan rakyat Malaysia tentang usahanya untuk membanteras rasuah, maka beliau harus menginstitusikan pengisytharan harta secara terbuka, gugurkan pemimpin BN yang hidup mewah dan menginstitusikan tender terbuka,” ujar Guan Eng lagi.

No comments: