Wednesday, October 24, 2012

Bantah Soi Lek esok di Wisma MCA

KL TODAY

Pemuda PAS menganjurkan himpunan aman dan serahan memorandum bagi membantah kebiadapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap Islam pada hari Rabu, esok.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, ia akan diadakan jam 2.30 petang  di hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumput.Himpunan ini diadakan ekoran kebiadaban Dr Chua Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.

Terbaru, Chua berkata, negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.
Ekoran itu, pelbagai pertubuhan khasnya PAS telah membantah kenyataan ini kerana ia bukan lagi menyerang PAS atau DAP yang menjadi musuh politiknya, tetapi menyerang Islam selaku agama rasmi negara ini.

Turut membuat bantahan terhadap kenyataan Chua adalah Abim, Ikram dan pelbagai pertubuhan Islam lagi.
Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya berkata, selama ini pemimpin Umno yang paling banyak menghina Islam.

“Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam,” katanya.

Mohamad bagaimanapun menolak dengan tegas untuk menghina agama Chua.

“Kita tidak akan hina agama Presiden MCA itu seperti dia menghina agama kita kerana perbuatan itu dilarang di dalam al-Quran.

“Kita adalah manusia yang bertamaddun yang tidak akan melakukan kejahatan seperti yang dilakukan oleh Chua,” tegas beliau.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini juga bertindak menghantar satu surat kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan mendesak agar pergerakan pemuda parti itu menyatakan pendirian mereka berhubung dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menghina Islam.

Antara isi kandungan surat tersebut adalah beberapa kenyataan yang pernah diucapkan oleh Chua Soi Lek yang didapati menghina dan merendah-rendahkan Islam.

Menurut Khairul Faizi selaku ketua delegasi DPPM ke ibu pejabat Umno di PWTC menyatakan, kenyataan daripada presiden dan beberapa pimpinan parti komponen di dalam Barisan Nasional itu agak keterlaluan dan melampau.

“Kenyataan beliau itu akan mengundang kemarahan seluruh umat Islam di Malaysia. Kita berasa sedih apabila Presiden Umno sendiri turut mendengar penghinaan tersebut tetapi beliau hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa,” ujar beliau yang juga Setiausaha DPPM.

Beliau juga turut mengingatkan agar Pergerakan Pemuda Umno perlu memberikan pendirian yang jelas berhubung perkara itu.

No comments: