Harakahdaily, |
Kami, wakil beberapa NGO yang disebutkan di bawah, berpandangan langkah tersebut adalah satu pendekatan yang tidak strategik. Ianya tidak bertujuan mengurangkan kadar jenayah di peringkat akar umbi, sebaliknya hanya cuba menyelesaikannya di peringkat penguatkuasaan dan perundangan semata-mata. Kami yakin, usaha tersebut hanya bersifat reaktif dan tidak mampu menangani permasalahan peningkatan jenayah sosial dalam masyarakat. Usaha pencegahan adalah jauh lebih baik dan strategik daripada sekadar merawat sesuatu gejala.
Kami menyatakan rasa kesal tiadanya satu peruntukan khas dalam Bajet 2013 yang menjurus kepada usaha serius dan bersepadu menangani gejala sosial dan sosial yang semakin membarah dan meruncing dalam masyarakat hari ini. Betapa saban hari, statistic membuktikan terdapatnya peningkatan pelbagai jenis gejala sosial dan seksual berlaku.
Peningkatan kes kehamilan luar nikah dan bilangan anak tak sah taraf:
- Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan seramai 18,652 remaja berusia 10-19 tahun didapati hamil sepanjang 2011, di mana 30% hamil di luar nikah yang sah. (The Star, 22 September 2011)
- Dalam tempoh lapan tahun (2000-2008) sebanyak 257,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- Secara purata, kadar kelahiran anak tak sah taraf di negara ini:
o 83.3 kes sehari
o Satu kes setiap 15 minit
Kes pembuangan bayi yang begitu ketara:
- Seramai 705 bayi terdampar dilaporkan sepanjang lapan tahun semenjak 2004 hingga 2011. Dalam 2009 – 79 kes, meningkat sebanyak 15% kepada 91 kes dalam tahun 2010 dan sebanyak 98 kes pada tahun 2011. (Sumber : PDRM)
- Menurut satu laporan JKM, dari tahun 2004-2009, sebanyak 16% bayi yang terdampar ditemui di kawasan pembuangan sampah!
- Daripada pemantauan media harian bercetak di Negara ini, dalam tempoh lima bulan terakhir ini (Mei-September 2012), terdapat 30 liputan berita mengenai pembuangan bayi yang dilaporkan.
Pada 6 Julai yang lalu, negara ini digemparkan dengan insiden bayi disorokkan di dalam beg sekolah selama berhari-hari sebelum ditemui.
Semakin ramai golongan remaja yang sepatutnya menjadi harapan bangsa dan negara, terbabit dalam pelbagi jenayah seperti samun, peras ugut, ragut, gengsterisme, ketagihan dadah dan alkohol, rogol, cabuk dan bunuh. Jenayah sadis yang membabitkan ahli keluarga terdekat juga semakin berleluasa.
Kami ingin menekankan, peningkatan gejala sosial yang semakin kritikal ini amat membimbangkan dan menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada ahli masyarakat. Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk segera menangani isu gejala sosial ini dengan pelbagai langkah pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan, agar ianya tidak semakin parah dan di luar kawalan. Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan. Memperuntukkan sumber kewangan dan dana yang mantap, stabil dan mencukupi bagi melaksanakan usaha penting ini sewajarnya menjadi keutamaan pihak kerajaan buat masa ini.
Kami ingin menegaskan, usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata, tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan insaniah yang menitikberatkan konsep amanah, integriti dan pertanggungjawaban, dibimbangi akan lebih mendatangkan mudarat dan kerosakan.
Sebagai pihak sukarelawan dan NGO yang sekian lama terbabit secara langsung dengan usaha pencegahan dan rawatan pemulihan kelompok yang terlibat dengan gejala sosial dan seksual, IKRAM membuat penegasan menuntut semua pihak – setiap ahli masyarakat, remaja, ibu bapa, orang dewasa dan khususnya pihak kerajaan:
- Memberikan perhatian, tumpuan dan keutamaan sewajarnya terhadap peningkatan gejala sosial yang serius melanda negara, dan tidak mengetepikan atau menganggap remeh permasalahan tersebut.
- Meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas dalam membangunkan system sosial yang berpaksikan keadilan, kesejahteraan, akhlak luhur dan nilai terpuji.
- Menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) bagi kelompok yang telah terjebak dan terjerumus ke dalam kancah gejala sosial, agar mereka dapat dibimbing untuk bangkit kembali membina kehidupan baru yang lebih bermakna.
- Memperuntukkan belanjawan yang mencukupi untuk membiayai semua usaha dan langkah di atas, sebagai satu komitmen padu yang membuktikan kesungguhan mahu menangani permasalahan peningatan gejala sosial yang semakin meruncing.
Kami menuntut agar penegasan ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kepimpinan negara, demi Malaysia yang lebih sejahtera, untuk semua!
Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj
Pengerusi JK Pembangunan Sosial
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
Rosmawati Zainal
Pengarah Raudhatus Sakinah
Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek
Pengerusi Rumah Iman 1 dan 2 (SIDIM)
Ustaz Roslan Mohamad Isa
Penyelia Baitul Islah PERKID Shah Alam
Hazlina Abdul Razak
Pengarah Darul Wardah
Pn Hjh Norlina Haji Alawi
Pengerusi Keluarga Besar Norlina Alawi
No comments:
Post a Comment