Friday, October 5, 2012

Abil terima tawaran jadi pakar motivasi

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Abil-Fauziah
Abil sentiasa menemani Fauziah.

SHAH ALAM – Bekas perunding kewangan dan speaker motivasi, Abil Fikri Ahmad, 43, yang berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar sejak tahun lalu, mendapat tawaran menjadipakar motivasi beberapa pasangan suami isteri.

Sebelum ini, kisah Abil-Fauziah mendapat perhatian media apabila beliau menulis catatan hidup bersama isterinya, Fauziah Muhamad, 38, yang diserang asma sehingga menyebabkannya mengalami kerosakan pada saraf otak sejak Jun 2011.

“Saya diminta memberi taklimat motivasi terutamanya kepada pasangan suami isteri di sekitar Bangi, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor, namun saya masih belum memberi jawapan pasti, hanya insya-ALLAH.

“Kalau yang dekat mungkin boleh tetapi yang jauh itu buat masa sekarang ini mungkin tidak dapat dipenuhi hajat tersebut,” katanyakepada Sinar Harian Onlineketika dihubungi, hari ini.

Abil yang menjaga isterinya sepenuh masa memberitahu, kos perbelanjaan bulanan mereka menelan kos sekitar RM2,500.Itu pun hanya untuk keperluan asas sahaja.

Mengulas lanjut mengenai tawaran untuk menjadi pakar motivasi, Abil berkata, soal bayaran tidak pernah timbul dan menghargai penghormatan yang diberikan.

“Tidak timbul soal bayaran kerana saya hargai sokongan dan doa yang diberikan. Sehingga kini, saya tidak mahu memberi jawapan yang pasti, apabila tiba hari majlis itu nanti, kalau jadi, jadi lah.

“Sebelum ini, pernah berlaku apabila sudah berjanji, saya sampai ke lokasi, tetapi tiada apa-apa, program tidak jadi. Saya seolah-olah tertipu,” katanya sambil menambah, dia bimbang sekiranya terpaksa berjauhan dengan isterinya bagi memenuhi tuntutan menjadi pakar motivasi.

“Ketika ditemu bual sebuah stesen TV sebelum ini, saya asyik berfikir tentang Fauziah. Hati saya tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan dia ketika itu.

“Mak cik saya sudah beri susu belum kepada dia, dia ada mencari saya tak, dia sudah tidur ke belum dan macam-macam lagi saya fikir. Itu yang membuatkan saya mahu cepat-cepat balik ke rumah,” katanya lagi.

Tambahnya, “walaupun ada juga pihak yang sanggup menyediakan tiket penerbangan ke pergi balik ke Johor tetapi saya memang meminta maaf kerana saya tidak dapat memenuhinya.”

“Jika tugas saya di sini sudah habis, isteri sudah sihat, jangankan di dalam negara, Amerika Syarikat juga saya boleh pergi,” katanya sambil berseloroh.

Jika sebelum ini, kediaman pasangan ini meriah dengan kunjungan orang ramai yang datang tanpa mengira waktu, tetapi kini Abil mengakui, sokongan itu semakin berkurang sedikit demi sedikit.

“Kunjungan yang diterima semakin berkurang, namun sokongan moral yang saya terima daripada pembaca blog masih sama seperti dulu, tidak pernah berkurang,” katanya.

Ketabahan Abil dikagumi pelbagai lapisan masyarakat kerana keputusannya berhenti kerja dan meluangkan sepenuh masa untuk menjaga isteri yang menderita penyakit saraf otak.

Pasangan itu bernikah pada 13 Mac 2009 dan menerima ujian yang mengubah kehidupan mereka kira-kira dua tahun selepas bergelar suami isteri.

No comments: