Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, boikot ekonomi dan budaya hendaklah menjadi senjata berkesan kepada rakyat untuk menundukkan keangkuhan AS.
"Kami menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh berhenti dengan demonstrasi semata mata . Malah tindakan memboikot semua perkhidmatan dan produk yang berkaitan dengan Amerika seharusnya cuba dilaksanakan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliau, sehingga ini jelas tidak ada maklum balas daripada pihak Amerika terhadap bantahan keras umat Islam.
Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bukan setakat berdemonstrasi memprotes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW menerusi filem Innocence of Muslims, umat Islam negara ini perlu memboikot barangan keluaran Yahudi sebagai tanda bantahan.
Mursyidul Am Pas berharap selepas demonstrasi yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, oleh Pemuda Pas dan Pemuda Umno, satu jawatankuasa dapat ditubuhkan untuk melaksanakan boikot barangan Yahudi secara serius.
Nik Aziz berkata, kerja membuat bantahan itu bukan tanggungjawab kerajaan sahaja, tetapi sebagai umat Islam ia perlu dilakukan apabila wujudnya penghinaan agama.
Dalam kenyataan itu, Mohd Azmi yang turut bersama menghantar memorandum kepada Kedutaan AS mengenai penghinaan ke atas Nabi Muhammad menegaskan bahawa tindakan kedutaan yang hanya menghantar ketua keselamatan adalah suatu tindakan biadab.
"Jelas Amerika tidak menghormati sentimen masyarakat Islam dan rakyat ini di seluruh negara kerana mellihat reaksi yang sangat jelas pada demonstrasi yang ditunjukkan oleh ribuan rakyat Malaysia.
"Amerika perlu diajar untuk menghormati perasaan rakyat dengan menerima memorandum ini oleh Duta Amerika sendiri.
"Isu yang sudah menjadi isu dunia akibat penerbitan filem yang menghina Nabi, bukan isu kecil, malah akan mempengaruhi hubungan dunia Barat dan Islam," katanya lagi.
Kata Mohd Azmi, Kedutaan AS perlu ingat akibat dari keangkuhannya bakal mencetuskan kebencian umat Islam yang lebih meningkat, lantaran umat Islam sudah mempunyai persepsi buruk terhadap negara tersebut dalam banyak isu yang berkaitan dengan Islam.
"Jika benar Amerika mahu menunjukkan sikap terbukanya, kami menegaskan mereka mesti menghormati tindakan rakyat untuk menghantar memorandum dan memberi respons yang sewajarnya terhadap tuntutan yang ada dalam memorandum tersebut.
"Rakyat Malaysia tidak akan terperangkap dengan strategi dan gimmik komunikasi diplomatik yang cuba ditunjukkan oleh pegawai keselamatan itu malah menuntut supaya mereka bertindak menyatakan permohonan maaf kepada rakayat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment