Bukan itu sahaja, calon Presien KOM yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyuarakan perasaan tidak puas hati berikutan mesyuarat tersebut ditutup oleh pengerusi yang juga Presiden KOM, Datuk Shahidan Kassim sebelum keputusan undian diumumkan.
Diundi sebagai Presiden KOM bagi penggal 2012-2014, Zainal Abidin yang menewaskan Shahidan dengan 23 undian daripada 44 perwakilan, berkata, AGM sepatutnya ditutup selepas selesai pengumuman calon dan ia sepatutnya dilakukan oleh ahli jawatankuasa baru yang telah dilantik.
"AGM ini sepatutnya mengikut prosedur mesyuarat yang sebenar dan hanya boleh ditutup selepas kesemua ahli jawatankuasa baru diberikan peluang untuk berucap dan menyatakan hala tuju," katanya selepas diumumkan sebagai Presiden KOM yang baru.
Pada masa yang sama, mengakui yakin akan menang dalam perebutan kerusi Presiden KOM berdasarkan polemik yang melanda badan induk itu belakangan ini, Zainal Abidin berharap pemilihan muka baru dalam mengendalikan KOM akan membawa banyak perubahan.
"Saya memang mahu mengambil alih jawatan ini sekali gus sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam memartabatkan sukan olahraga," katanya yang mahu menumpukan aspek kebajikan, prestasi atlet dan juga jurulatih.
Sementara itu, meskipun menjadi calon popular dalam KOM, Shahidan, bekas Menteri Besar Perlis, nyata gagal mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak 2006. Beliau menerima 21 undi.
Laporan Bernama menyebut, kesemua 44 perwakilan yang mengundi sebulat suara memilih empat individu termasuk dua penyandang sebagai naib presiden KOM selepas memperoleh undi tertinggi.
Dua penyandang jawatan iaitu Datuk R. Annamalai dan Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar masing-masing memperoleh 25 dan 24 undi manakala dua lagi calon iaitu Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Amatur Selangor (POAS), K. Yogeswaran dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Sabah Datuk Paiman Abdul Karim pula masing-masing memperoleh 32 dan 28 undi.
Tiga lagi calon yang bertanding untuk jawatan tersebut memperoleh undi terendah iaitu Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor R. Rajasegram (24 undi) serta Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Rajemah Sheikh Ahmad dan Mohamad Awang daripada Persatuan Olahraga Amatur Kelantan dengan 21 undi masing-masing.
Mumtaz diberikan kemenangan berbanding Rajasegram kerana KOM mewajibkan naib presidennya harus diwakili seorang wanita.
Karim yang berharap agar kepimpinan baru dapat membawa KOM menjadi salah sebuah persatuan sukan yang disegani di negara ini.
"Saya ucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memberi kepercayaan kepada saya selama ini dan saya berharap kepimpinan baharu di bawah Zainal Abidin serta Wan Hisham akan menaikkan nama KOM demi kebaikan sukan olahraga negara," katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memilih beliau dan berjanji akan memberikan sumbangan terbaik demi pembangunan berterusan sukan olahraga negara.
"Saya berikrar akan membantu untuk memajukan lagi sukan KOM dengan kerjasama erat daripada perwakilan serta anggota gabungan KOM," katanya.
Bagi Wan Hisham pula, beliau meminta perwakilan tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada kepimpinan baharu untuk mencipta kegemilangan pada masa yang singkat.
"Berilah masa kepada kami (kepimpinan baharu) untuk membetulkan segala kesalahan lampau dan berusaha bersama-sama membangunkan sukan olahraga negara," katanya.
Terpaksa menerima hakikat tersebut, Shahidan bagaimanapun berjanji akan terus berjuang untuk memastikan sasaran pingat bagi olahraga tercapai dan berharap segala isu panas yang berlaku dalam KOM dapat dikurangkan.
"Saya terima keputusan ini dengan hati terbuka. Ini tidak bermakna perjalanan saya dalam dunia sukan sudah berakhir. Enam tahun berada dalam pengurusan KOM saya sudah lakukan yang terbaik dan saya berharap ahli jawatankuasa baru sudah membuat persediaan yang mantap untuk menerajui KOM.
"Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang berjaya dan yang tidak berjaya, jangan putus asa," katanya ketika ditemui di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim turut kecundang dalam mengekalkan jawatannya apabila ia kini dipegang oleh Datuk Wan Hisyam Wan Salleh yang sebelum ini merupakan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu.
No comments:
Post a Comment