Sunday, July 22, 2012

UMNO sudah menyusup masuk dalam Cawangan Khas (SB)?

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: DAP mengecam Barisan Nasional kerana menggunakan Cawangan Khas (SB) polis sebagai alat politik untuk menakutkan rakyat terhadap Pakatan Rakyat supaya membolehkan BN mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Penolong Pengarah E2(M) dalam bahagian ancaman ekstremis sosial Cawangan Khas, Mohd Sofian Md Makinuddin, yang dilaporkan pada hari Khamis lalu oleh agensi berita nasional Bernama sebagai berkata bahawa kononnya terdapat elemen Jemaah Islamiah (JI) menyusup masuk PAS sementara elemen komunis menyusup ke dalam DAP.

“DAP tidak tahu apa-apa tentang penyusupan komunis dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan elemen komunis. Dengan memilih untuk membuat pengumuman tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pucuk pimpinan DAP, Mohd Sofian dan Cawangan Khas telah bersikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.

“Ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan oportunis politik oleh Cawangan Khas untuk membuat serangan tidak berasas ke atas DAP tanpa menunjukkan bukti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan sama ada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berani mengarahkan Cawangan Khas untuk menunjukkan bukti kepada rakyat bagaimana komunis telah menyusup ke dalam DAP.

“Jika Hishammuddin gagal berbuat demikian, maka sebenarnya Cawangan Khaslah yang sudah disusup masuk oleh UMNO! Taktik terdesak ini tidak berbeza daripada UMNO yang mempersoalkan kesetiaan DAP terhadap Malaysia walaupun tiada pemimpin DAP yang telah mendapatkan status Pemastautin Tetap Australia seperti seorang Menteri MCA.

“Kenapakah Cawangan Khas polis masih lagi ingin melawan komunis sedangkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor, dan bukan Pakatan Rakyat, yang telah menandatangani perjanjian keamanan dengan Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989?” soal beliau.

Menurutnya, jika Cawangan Khas ingin sangat melawan komunis, mereka patut berasa malu kerana gagal melaksanakan tugas dengan mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang telah menubuhkan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 bagi mengeratkan hubungan di antara Pemuda BN dan Liga Pemuda Komunis China (CYL).

Guan Eng berkata, Khairy telah berkata bahawa sekretariat tetap sayap pemuda BN-Parti Komunis China itu akan membolehkan program-program dua hala yang berterusan untuk mengeratkan hubungan antara dua entiti tersebut.

“Berbanding dengan dakwaan penyusupan komunis ke dalam DAP, sekretariat tetap di antara CYL dan Pemuda UMNO adalah hubungan langsung yang dilakukan secara disedari dengan persetujuan penuh Khairy Jamaluddin.

“Pegawai atasan Cawangan Khas seperti Mohd Sofian harus letak jawatan kerana gagal bertindak terhadap Khairy dan Pemuda UMNO yang menjalin hubungan langsung dengan CYL tetapi sebaliknya memilih untuk mencari bayang-bayang komunis yang tidak wujud dalam DAP,” tambah beliau.

Beliau turut mengingatkan kerajaan BN bahawa apabila para pemimpin DAP ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim ISA sebelum ini, tiada seorang pun yang didakwa berkaitan dengan hubungan komunis.

Sebaliknya, sudah ada pemimpin UMNO yang pernah ditahan kerana mempunyai hubungan dengan komunis.

Menurut Guan Eng, Cawangan Khas polis juga tidak menentang penjalinan hubungan diplomatik di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan komunis China tetapi juga dengan rejim-rejim komunis seperti Cuba.

“Adalah jelas bahawa cubaan untuk mengaitkan DAP dengan komunis ini adalah satu muslihat politik pilihan raya untuk menakutkan orang Melayu supaya terus menyokong UMNO dan BN,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kempen memburuk-burukkan oleh Cawangan Khas terhadap DAP itu  adalah sebahagian daripada taktik 3D UMNO iaitu:

* Denial (penafian hubungan komunis dengan UMNO sendiri)
* Dirty tactics (taktik kotor untuk menakut-nakutkan pengundi); dan
* Deception (penipuan untuk menghubungkan Pakatan Rakyat dengan puak pelampau dan komunis).

Katanya, taktik terdesak itu tidak ada kesan lagi kerana rakyat tidak mahu hidup dalam kegelapan, sebaliknya rakyat ingin hidup dalam pencerahan dengan martabat keinsanan, integriti, kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi. – Roketkini.com

No comments: