Wednesday, July 25, 2012

Ramadan: Kelantan sumbang RM640,000

Salmah Mat Husain I Foto Rizal Tahir,


(Husam menyampaikan cek kepada Farah isteri kepada arwah Kamarulzaman)


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui agensi serta anak syarikatnya menyalurkan sumbangan kepada enam penerima serentak sempena bulan Ramadhan ini yang membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM640,000.

Sumbangan diberikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (Sawit), Kelantan Golden Trade (KGT) termasuk melalui program kebajikan kerajaan negeri sendiri.

Antara penerima isteri allahyarham Kamaruzzaman Abdullah (Pegawai Khas Datuk Husam Musa),
Farah Mat Wi, isteri bekas Adun Chetok, (Ustaz Hussin Ibrahim), Siti Marjan Salleh.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, di pejabatnya semalam.

Turut menerima sumbangan sembilan mangsa kebakaran di Wakaf Che Yeh pada 1 Mac lalu yang melibatkan sumbangan sebanyak RM30,000.

Husam berkata, turut menerima sumbangan hari ini Tabung Amanah Tok Kenali sebanyak RM200,000 yang disumbangkan KGT.

"Selain itu Baldah Toyyibah turut menerima sumbangan sebanyak RM4,720, lebihan wang bidaan KGT sempena ekspo baru-baru ini,”ujarnya.

Katanya, moga sumbangan ini dapat membantu mereka khususnya bulan Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

Farah ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas keperihatian terhadap keluarganya selepas arwah suaminya meninggal.

Bagaimanapun, bagi Farah wang tersebut bukan untuk dirinya, sebaliknya beliau hanya pemegang amanah ke atas yang lebih berhak.

“Terima kasih banyak pada semua,”ujarnya.

Kamaruzzaman meninggal dunia sewaktu pulang dari program menuntut royalty dari kerajaan Pusat pada 11.11.11 lalu.

No comments: