Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zamanhuri berkata, bantahan ini menggesa Syabas membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih dalam operasi dan pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kami menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri untuk ambil alih Syabas dan yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik dengan harga tidak membebankan rakyat.
Menurutnya, mereka turut membantah cadangan program catuan air oleh Syabas dan sekali gus mendesak Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail melepaskan jawatannya kerana didakwa gagal menjalankan tugas membekalkan air kepada rakyat negeri ini.
Azmizam turut mempertikaikan cubaan membina persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan PR dengan mengumumkan krisis air dengan membelakangkan bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Tindakan tidak profesional Syabas dengan mengetepikan keperluan pengguna, dilihat lebih bersifat mensabotaj kerajaan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.
Selain itu, kami rakyat Selangor menolak projek Langat 2 kerana dilihat membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus.
“Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan pembinaan Loji Langat 2 menelan kos sebanyak RM 8.85 bilion dan ini membebankan rakyat,” katanya ketika perhimpunan aman di sini.
Dalam pada itu, satu memorandum yang menggaris tujuh tuntutan turut diserahkan kepada Pengarah Eksekutif Syabas, Ismail Hashim dalam perhimpunan berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.
Memorandum tersebut antara lainnya membantah cadangan Syabas untuk mencatu bekalan air dan menuntut syarikat konsesi itu mensabotaj Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air.
Memorandum berkenaan juga menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2 dan kegagalan Syabas mengurus kewangannya serta perkhidmatan yang tidak memuaskan.
Perhimpunan aman yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) tersebut turut dihadiri pemimpin parti PR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
No comments:
Post a Comment