Editor Buletin
Pulau
Perhentian yang terdiri daripada Pulau Perhentian Kecil dan Pulau
Perhentian Besar menjadi antara lokasi popular bagi pelancong dalam dan
luar negara. Ia terletak dalam daerah Besut di Terengganu yang jaraknya
kira-kira setengah jam menaiki bot laju dari jeti Kuala Besut.
Pantai putih bersih, air laut jernih kebiruan dan keindahan batu
karangnya yang pelbagai menjadi aset utama pulau ini selain mitos naga
yang menyelamatkan pulau itu terus menghambat pelancong untuk segera ke
sana.
Keindahan alamnya masih belum terusik kerana Pulau
Perhentian Besar masih tidak berpenghuni selain daripada pengusaha
pusat percutian dan pelancong.
Hutan kehijauan dan karenah sang
tupai dan kubung yang cerdik di alam semulajadi mereka membuatkan
pengunjung terpaku untuk terus berada di pulau itu bagi tempoh beberapa
hari.
RESORT DAN CHALET HADAPI MASALAH ELEKTRIK DAN AIR
Namun
ada "sedikit kekurangan" di pulau ini yang menjadi rungutan sesetengah
pengusaha resort atau chalet terutama di Pulau Perhentian Besar yang
menjadi tumpuan pelancong.
Bekalan elektrik belum sampai ke Pulau
Perhentian Besar dan bekalan air bersih pula dinikmati oleh sebilangan
kecil pengusaha pusat percutian di pulau itu.
Pengusaha resort
dan chalet terpaksa bergantung kepada generator yang menggunakan minyak
diesel bagi membekalkan tenaga elektrik dan air telaga tiub di tempat
mereka.
Kosnya bukan sedikit. Mencecah hampir RM20,000 sebulan bagi bekalan minyak diesel itu!
Penulis
yang menginap di sebuah resort di situ baru-baru ini merasai sendiri
gangguan bekalan elektrik itu apabila generator "meragam".
Ketika
ditanya kepada Ketua Pegawai Operasi Watercolours Resort Sdn Bhd, Mike
Soh Abdullah mengenai perkara itu, beliau mengakui gangguan bekalan
elektrik merupakan masalah utama pengusaha resort sepertinya.
RM16,000 SEBULAN UNTUK BELI MINYAK DIESEL
"Macam
di resort ini, kami menghabiskan RM16,000 sebulan untuk bekalan minyak
diesel untuk menjana elektrik selama 24 jam setiap hari.
"Kami tidak boleh menghadkan penggunaan generator kerana akan menyukarkan pelancong yang menginap di resort ini," katanya.
Mike
Soh berkata memang ada cadangan kerajaan supaya Tenaga Nasional Berhad
(TNB) membekalkan tenaga elektrik namun entah bila perkara itu akan
menjadi kenyataan.
"Saya sudah mengusahakan resort ini hampir 20
tahun lamanya. Bayangkan betapa banyak wang yang terpaksa dihabiskan
untuk membeli minyak diesel dan kos penyelenggaraan generator kami,"
katanya.
Beliau berkata adalah wajar bagi kerajaan menyegerakan
pembekalan tenaga elektrik sepenuh masa itu demi kelangsungan masa
depan industri pelancongan di pulau berkenaan.
"Ini pulau
tumpuan pelancong dunia. Mereka mahukan keselesaan untuk menginap yang
kesemuanya memerlukan bekalan elektrik," katanya.
AIR MINUMAN TERPAKSA DIBELI
Mike
Soh berkata buat sementara pengusaha sepertinya berharap agar kerajaan
dapat membekalkan mereka minyak diesel pada harga subsidi untuk
mengurangkan kos yang ditanggung mereka.
Selain itu masalah
mendapatkan bekalan air bersih terus menghantui pengusaha pusat-pusat
percutian di pulau ini yang terpaksa membeli bekalan air bersih dari
tanah besar di Besut yang kosnya bukan murah.
Untuk mandi, resort itu menggunakan air telaga tiub tetapi untuk minum ia terpaksa dibeli.
"Kami juga dimaklumkan bekalan air bersih akan disambungkan dari Pulau Perhentian Kecil tidak lama lagi," katanya.
Seorang
pelancong dari Singapura, Zainal Ibrahim, 43, hairan pulau yang
terkenal itu masih belum menerima bekalan elektrik sepenuhnya tidak
seperti pulau-pulau lain yang pernah dilawatinya.
"Seringkali
elektrik terputus dan pendingin hawa tidak berfungsi pada masa tertentu.
Ini menjejaskan mood kami dan saya rasa perkara ini perlu diambil
perhatian semua pihak," katanya.
Sementara itu Pengerusi
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pulau Perhentian Zainudin
Mohamad berkata bagi hampir 2,000 penduduk di kampung berkenaan, yang
terletak di Pulau Perhentian Kecil, mereka telah dibekalkan dengan
bekalan air bersih dari tanah besar.
"Kami di sini mempunyai
tangki simpanan air yang besar dan mencukupi manakala bekalan elektrik
24 jam, kerajaan membekalkan generator khas melalui TNB.
"Di
Pulau Perhentian Besar sesetengah chalet atau resort sudah menerima
bekalan air bersih cuma bekalan elektrik sahaja yang belum disambungkan
lagi," katanya.
PULAU PERHENTIAN PERLUKAN DOKTOR TETAP
Zainudin
juga berharap agar kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dapat
menempatkan seorang doktor perubatan di pulau itu bagi keperluan
kesihatan dan kecemasan penduduk pulau itu.
Walaupun kerajaan
telah menempatkan seorang penolong pegawai perubatan (MA) namun ia tidak
memadai terutama dalam kes-kes kecemasan.
"Kami penduduk Pulau
Perhentian sangat mengharapkan kerajaan dapat menempatkan seorang
doktor di pulau ini. Sebelum ini kalau kami mahu bertemu doktor
terpaksalah ke Hospital Besut atau ke Hospital Kota Baharu atau
Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian yang semuanya agak
jauh," katanya.
Ketika Kem Kesihatan Pulau Perhentian 2012 yang
dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Kelantan
baru-baru ini, pengerusinya Dr Seri Buana Zainudin juga mencadangkan
agar kerajaan dapat menyediakan khidmat seorang doktor tetap.
"Ini
kerana di Pulau Perhentian yang mempunyai hampir 2,000 penduduk ini
wajarlah mereka mendapat seorang doktor sepenuh masa yang sangat
diperlukan.
"Di sini kerajaan telah menempatkan seorang MA di
Klinik Desa tetapi pada masa yang sama seorang doktor sangat diperlukan
selain yang datang memberikan rawatan secara berkala," katanya. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment