Sunday, July 22, 2012

Kerajaan Negeri Selesaikan Projek Rumah Terbengkalai PJS1





PETALING JAYA : Keresahan lebih 260 pembeli rumah kos rendah Blok E Petaling Jaya Selatan (PJS) Satu di sini dijangka berakhir apabila Kerajaan Selangor bertindak mengambilalih projek itu yang terbengkalai lebih sembilan tahun.

Rata-rata pembeli yang sekian lama menduduki kawasan setinggan berhampiran dengan tapak projek, melahirkan kegembiraan dengan tindakan Kerajaan Selangor itu.

Bagi peniaga, Mat Saperi Lebai Ayob, 57, tindakan kerajaan Selangor yang mahu mencari jalan penyelesaian wajar dipuji.

“Sebagai pembeli yang rumah sudah terbengkalai lebih sembilan ke sepuluh tahun, (saya) beranggapan isunya akan selesai tak lama lagi.

“Memang perkara ini sudah lama sangat dan pembeli amat sedih dan kecewa. Ada yang sudah uzur, tua dan ada yang sudah meninggal dunia.



“Dengan kehadiran Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) berdialog bersama semua pembeli, saya rasa satu keputusan yang baik akan diperolehi nanti oleh kita semua.”

Beliau ditemui TVSelangor selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama pembeli RKR Blok E Unit PJS Satu di Bangunan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam.

Projek itu melibatkan pembinaan 262 unit pangsapuri kos rendah yang dimulakan pada 2003.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS Satu, M Sugumaran berharap Kerajaan Negeri dan mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jawatankuasa penduduk secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ini kali kedua Menteri Besar datang bagi sesi dialog dan kita harap satu keputusan akan dapat dicapai sebagaimana yang dikatakan oleh beliau.

“Saya yakin sebagai kerajaan yang prihatin dan berkebajikan, maasalah kami ini akan dapati diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam sidang media berkata, satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan bagi mencari penyelesaian dalam perkara itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslam Sakiman, jawatankuasa penduduk dan pihak-pihak berkaitan.



“Saya telah mengaarahkan Iskandar bersama Datuk Bandar dan wakil penduduk mengadakan perbincangan dan dalam bulan puasa ini sekurang-kurang dua kali supaya semua perkara dapat diseleesaikan.

“Tujuannya apabila kita lancarkan projek perumahan untuk mereka yang akan mendapat rumah-rumah ini maka tiada lagi perkara yang mengelirukan berbangkit.

“Kita mesti selesaikan sebab sudah lama sangat orang tunggu. Bagaimanapun keputusan hanya akan boleh dibuat selepas proses pengambilalihan tanah bagi menjayakan projek tersebut,” katanya.

No comments: