Sunday, July 1, 2012

Kepesatan pembangunan punca Sg Klang tercemar

FREE MALAYSIA TODAY

Keadaan ini telah memberi cabaran besar kepada kerajaan untuk menguruskan masalah yang dihadapi penduduk ekoran berlakunya pencemaran sungai termasuk dari sudut kawalan banjir.




SHAH ALAM: Kepesatan pembangunan dan jumlah penduduk yang ramai di kawasan Lembah Klang merupakan faktor penyumbang terhadap pencemaran Sungai Klang, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata faktor itu telah memberi cabaran besar kepada kerajaan untuk menguruskan masalah yang dihadapi penduduk ekoran berlakunya pencemaran sungai termasuk dari sudut kawalan banjir.

“Kepesatan penduduk yang melebihi empat juta orang di bandar-bandar sekitar Sungai Klang termasuk Ampang dan Shah Alam telah menyebabkan pencemaran Sungai Klang ketika ini berada di kelas III dan IV yang mana ia dikategorikan oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai tercemar,” katanya di dalam ucapan yang dibacakan pada majlis pelancaran Ekspedisi Sungai Klang Bersama Media di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor.

Uggah berkata melalui pelbagai kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan seperti ‘Cintailah Sungai Kita’ serta penempatan semula setinggan, kadar sampah yang memasuki sistem sungai di lembangan Sungai Klang berjaya dikurangkan.

“Kadar sampah di Sungai Klang yang dicatatkan pada masa kini ialah 77,000 tan setahun dan kita jangkakan dengan projek River of Life (RoL) yang dilancarkan Julai tahun lepas, kita akan dapat mengurangkan lagi kadar ini iaitu sebanyak 50,000 tan setahun melalui pelbagai langkah termasuk pemasangan perangkap sampah selain program kesedaran awam,” tambahnya.

Menurut Uggah, media turut memainkan peranan yang penting bagi membantu kerajaan mengubah dan membentuk masyarakat ke arah pengurusan alam sekitar yang mapan khususnya membabitkan isu pengurusan sungai.

“Selain melaporkan apa yang terjadi kepada sumber alam, media massa juga berperanan membantu kerajaan mentranformasikan Sungai Klang kepada sungai yang bersih.

“Atas sebab itu kita mengadakan program Ekspedisi Sungai Klang Bersama Media dengan tujuan bagi mendapatkan kerjasama dan komitmen media dalam menyebarkan maklumat terkini mengenai alam sekitar khususnya berhubung isu menguruskan sungai,” katanya.

Uggah turut berharap masyarakat setempat lebih peka dalam aspek penjagaan sungai dan dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam membendung pencemaran sungai.

Terdahulu, kumpulan media telah dibawa memudiki Sungai Klang dengan menaiki bot dalam perjalanan selama 1 jam bermula di Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang dan berakhir di Seksyen 24 di sini. Bernama

No comments: