Tuesday, July 24, 2012

Kenyataan Muhyiddin Bukti Selangor Tiada Krisis Air





SHAH ALAM– Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat jelas menujukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 seperti yang didesak oleh kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam reaksinya berkata, sehingga kini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) masih gagal mengemukakan bukti kepada umum yang menyatakan keperluan catuan air dilakukan.

“Bila saya baca kenyataan TPM saya sedikit terkejut sebab dua tiga minggu lalu Syabas mengatakan kita (Selangor) berada dalam keadaan krisis air. Tiba-tiba Muhyiddin kata tidak perlu. Apakah mereka ingin mempermainkan rakyat?

“Ini bermaksud kalau tidak ada catuan air, maka tidak ada masalah air. Kalau tidak ada masalah air, mengapa mereka ingin membina Loji Rawatan Langat 2? Ini tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Katanya, Kerajaan selangor sebelum ini telah berulang kali mengemukakan surat kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih Syabas.

Jelas beliau lagi, keputusan yang dibuat hasil mesyuarat oleh Jawatankuasa khas kabinet bagi mengkaji isu air di Selangor jelas menunjukkan kerajaan persekutuan dan Syabas cuba untuk memperbodohkan rakyat agar Kerajaan Selangor bersetuju projek Loji Langat 2 diteruskan.

Katanya, tindakan terdesak ini antara lain bertujuan memastikan kroni Umno-BN mendapat kontrak pembinaan dan mencongak keuntungan berlipat ganda sekiranya usaha berkenaan diluluskan.

“Mereka cakap sahaja (berlakunya krisis air) untuk mendapatkan kontrak itu. Kenyataan muhyiddin merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin memperbodohkan rakyat,” katanya.

No comments: